Jumat Engson, Bekas Pengarah RTM Sabah Meninggal Dunia

1874
Gambar Arwah Jumaat dengan isterinya, Rita Kisil. – Gambar Facebook

KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM Datuk Haji Jumat Alias Engson, 65 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu kira-kira pukul 3.45 petang tadi.

Perkara itu disahkan isteri Allahyarham, Datin Rita Kisil kepada RTM.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Bandaraya Likas untuk dimandikan dan disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Likas untuk urusan pengebumian.

Gambar bersama arwah Datuk Jumat, baris hadapan empat dari kiri, dan arwah Kamaruddin Liusin, baris hadapan, kiri waktu aktif sukan dulu.

Allahyarham ditahan di Hospital Queen Elizabeth 2 akibat Pneumonia sejak seminggu lepas sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga dan sahabat handai.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak berkhidmat dengan RTM Sabah sejak 1974 sebagai pemberita sebelum dinaikkan pangkat sebagai Penyunting Berita Kanan dan Pengawal Berita Ehwal Semasa pada tahun 1988.

Pada tahun 1997, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah selama 12 tahun sebelum berpindah ke Bahagian Program Radio RTM di Angkasapuri sebagai Pengarah pada tahun 2009.

Gambar Arwah Jumat dengan isterinya, Rita Kisil. – Gambar Facebook

Jawatan terakhir beliau sebelum bersara pada tahun 2011 ialah Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM.

Sementara itu, beberapa sahabat Allahyarham yang ditemui RTM menyifatkan, Allahyarham seorang insan yang berkeperibadian tinggi dan ketua yang prihatin serta bertanggungjawab. – Sumber: Berita Ehwal Semasa, RTM Sabah