Jufazli Dinasihat Tarik Semula Kenyataan Kontroversi Kematian Tawfik

Allahyarham Tawfiq degan Jimmy Wong and pemimpin DAP yang lain disuatu acara tidak lama dahulu.

Oleh HAFIZ ZAINUDDIN
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong Sze Phin Jumaat menegaskan kenyataan kontroversi yang dikeluarkan bekas setiausaha politiknya Jufazli Shi Ahmad berhubung pemergian allahyarham Tawfiq Abu Bakar Titingan tidak ada kaitan dengan dirinya mahupun DAP.

“Di sini, saya ingin menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang dikeluarkan Jufazli merupakan pandangan peribadinya dan tiada kena mengena secara langsung mahu pun tidak dengan saya mahupun DAP,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Jimmy, Jufazli tidak lagi berkhidmat dengannya mahupun aktif bersama DAP apabila setiausaha politiknya itu membuat keputusan untuk berhijrah ke Semenanjung Malaysia selepas dua bulan bekerja.

Allahyarham Tawfiq degan Jimmy Wong.

“Sebagai Ahli Parlimen dan bekas majikan, saya ingin menasihati Jufazli supaya menarik balik kenyataan yang dikeluarkannya dengan segera.

“Saya juga tidak pasti mengapa dia mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Sebagai seorang yang masih dalam keanggotaan DAP, Jufazli memikul tanggugjawab untuk memelihara integriti dan nama baik parti dan tidak wajar melakukan sesuatu yang dilihat boleh menjatuhkan reputasi dan nama baik parti,” ujar beliau.

Meskipun berbeza parti politik jelas Jimmy, allahyarham Tawfik merupakan seorang rakan yang baik dan tidak pernah bermusuhan secara peribadi.

Beliau mengenali allahyarham sejak di peringkat sekolah menengah dan sama-sama mengambil keputusan untuk berkhidmat kepada rakyat melalui platform politik.

“Walaupun saya dan allahyarham Tawfik berada dalam parti politik yang berbeza, kami merupakan sahabat baik dan tidak pernah bermusuhan,” ujarnya.

Tawfik juga kata Jimmy merupakan seorang pemimpin yang budiman dan boleh meletakkan perbezaan politik ke tepi.

“Tidak dapat dinafikan, allahyarham merupakan individu yang telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat Sabah sebelum beliau keuzuran. Kita semua berasa terkejut dan bersedih atas pemergiannya dua hari lalu.

“Justeru, segala isu yang ditimbulkan oleh Jufazli sebelum ini adalah tidak timbul di sini,” katanya lagi.