JPNS Batal Jemput Ketua Menteri, Penghinaan Kepada Rakyat Sabah

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA KINABALU: Satu penghinaan kepada rakyat Sabah.

Ini susulan keputusan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) membatalkan jemputan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merasmikan sambutan Hari Guru, esok.

Timbalan Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Mohd Ismail Ayob berkata, selama menerajui negeri ini, Ketua Menteri amat menitikberatkan soal pendidikan dalam pentadbirannya.

Ini terbukti katanya, dengan pengwujudan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah sejurus selepas Mohd. Shafie mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Tetapi hanya kerana kerajaan negeri tidak menyokong Pakatan Nasional (PN), beliau berkata Kerajaan Persekutuan tidak membenarkan JPNS menjemput pemimpin kerajaan negeri.

“Apakah kepentingan politik lebih diutamakan daripada kebajikan pelajar dan prasarana sekolah?. Harus diingat bahawa di bawah pimpinan ketua menteri, beliau tidak pernah menghalang mana- mana menteri, timbalan menteri dan pemimpin PN ke Sabah.

“Ini kerana apa yang penting pembangunan rakyat Sabah dapat diteruskan dan bukannya berpolitik sepanjang masa.

“Saya percaya, ini bukan keputusan JPNS kerana jabatan kenal hati budi ketua menteri tetapi ia lebih kepada tekanan politik,” katanya menerusi kenyataannya di sini hari ini.

Beliau menambah bagaimanapun  rakyat Sabah bijak melihat yang mana baik dan sebaliknya.

“Buatlah apa saja tekanan kepada pemimpin kerajaan negeri, tetapi ia tidak mampu mengentarkan hati dan jiwa pemimpin kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi Kementerian Pelajaran dan Inovasi juga, banyak prasarana sekolah luar bandar yang daif mendapat manfaat.

“Ketua Menteri juga mengembalikan tujuan asal Yayasan Sabah ditubuhkan dengan memberi biasiswa kepada golongan kurang berkemampuan sama ada secara one-off dan biasiswa penuh.

“Begitu juga ketika ramai pelajar Sabah yang terkandas di Semenanjung akibat penularan COVID-19, dikumpul dan diberi bekalan makanan di Rumah Sabah termasuk balik secara percuma ke negeri ini. Kerajaan negeri turut menghantar pelajar yang jauh ke rumah masing-masing dengan selamat.

“Sebaliknya, ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), Yayasan Sabah hanya tertumpu kepada hasil balak,” katanya.

BERITA BERKAITAN: –

Jabatan Pendidikan Batal Jemput Shafie Rasmi Hari Guru Esok