JPN Sediakan Bas Untuk Pelajar Asrama SMK Entilibon

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengambil tindakan segera menyelesaikan isu melibatkan pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entilibon yang tidak mampu membayar tambang van ke sekolah.

Pengarah Pelajaran, Dr. Mistirine Radin berkata, JPNS akan meminjamkan bas jabatan itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tongod-Telupid untuk mengangkut murid dari asrama ke sekolah.

“JPN akan meminjamkan bas jabatan kepada PPD Tongod Telupid untuk mengangkut murid dari asrama-sekolah-asrama.

“PPD dijangka ambil bas tersebut di jabatan hujung minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Terdahulu hari ini, Borneo Today melaporkan keluhan ibu bapa pelajar asrama tersebut yang menzahirkan perasaan bimbang kerana anak mereka bakal berjalan kaki sejauh 3.8 kilometer ke sekolah.

Seorang bapa pelajar ketika menghubungi Borneo Today berkata, masalah tersebut  berpunca daripada kedudukan asrama yang terletak 1.8 kilometer dari sekolah menyebabkan pelajar terpaksa mengeluarkan duit tambang membayar atau berjalan kaki ke sekolah bagi yang tidak mampu.

Bagaimanapun difahamkan, pemandu van berkenaan akan menamatkan perkhidmatan bermula minggu depan kerana terpaksa menanggung kos minyak yang tinggi.

Bangunan SMK Entilibon yang digunakan sekarang disiapkan sejak beberapa tahun lalu, namun tiada bangunan asrama dibina justeru pelajar asrama masih ditempatkan di bangunan lama.

Selain itu, Borneo Today juga dimaklumkan bahawa projek asal bangunan SMK Entilibon yang dibina kerajaan terdahulu tidak melibatkan bangunan asrama sehingga menimbulkan persoalan.

Mengulas tentang asrama baharu, Mistrine berkata, perancangan membinanya telah diluluskan dan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan untuk kelulusan

“Asrama SMK Entilibon untuk 250 orang murid (125 lelaki dan 125 perempuan) telah lulus kebenaran merancang.

Permohonan pelan pembangunan (DP) dan pelan bangunan (BP) telah dikemukakan kepada Majlis Daerah Kinabatangan dan menunggu kelulusan,” katanya.

BERITA BERKAITAN :-

Tidak Mampu Bayar Tambang, 300 Pelajar Asrama SMK Entilibon Jalan Kaki 3.6KM?