JPN Sabah Keluarkan 46, 918 Sijil Lahir Dalam Program Unit Bergerak Khas

30379
Ismail menunjukkan Sijil Lahir untuk taraf warganegara (kiri) dan bukan warganegara (kanan)

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah belum menetapkan dasar yang boleh digunapakai dalam menyelesaikan isu warga asing tidak berstatus (statusless) di Sabah.

Pengarah JPN Sabah Datuk Ismail Ahmad berkata, setakat ini belum ada dasar dan keputusan ditetapkan kerajaan untuk memberikan apa-apa dokumen pengenalan diri kepada golongan tidak berstatus warganegara ini.

“Status anak warga asing yang berdokumen dan tidak berdokumen yang telah lama tinggal di Sabah belum dapat diputuskan.

”Belum ada dasar dan keputusan kerajaan untuk memberikan apa-apa dokumen kepada golongan berkenaan,” katanya ketika ditanya tentang langkah menyelesaikan masalah golongan tidak berwarganegara di Sabah.

Mengenai pengeluaran sijil kelahiran yang didaftarkan melalui Unit Khas Bergerak, sejak tahun 2000, sebanyak 46,918 sijil kelahiran telah didaftarkan termasuklah daftar lewat kelahiran.

Unit khas bergerak ini memberi fokus kepada usaha mendaftarkan Orang Asal dan bumiputera yang tinggal jauh di pedalaman. Ia termasuk memudahkan golongan kurang upaya dan warga emas mendaftarkan dokumen pengenalan diri mereka.

Dalam pelaksanaan unit bergerak, terdapat juga kes terpencil dimana, orang tempatan cuba mendaftarkan anak tumpang, iaitu anak warga asing yang dijaga oleh keluarga orang tempatan.

”Bagaimanapun, dalam kes sebegini kita berjaya mengesan dan menyerahkan kes sebegitu kepada polis dan pihak berkuasa lain.

”Kita berjaya mengesan kes begini melalui proses temuduga yang dijalankan dengan melihat perbezaan usia anak tumpang itu dengan usia anak mereka,” katanya.

Ismail berkata, selain unit bergerak itu, JPN turut melaksana pendaftaran dokumen pengenalan diri melalui perkhidmatan berkala bagi membantu masyarakat tempatan di luar bandar dan pedalaman mendaftarkan sijil lahir dan MyKad anak-anak mereka.

”Untuk perkhidmatan berkala ini, kita akan membuka khidmat pendaftaran selama dua hari untuk setiap kawasan yang kita lawati. Setakat ini, kita sudah melaksana program sebegini di Paitan, Beluran, Pagalungan dan Pensiangan, Nabawan.

”JPN juga merancang untuk mewujudkan perkhidmatan berkala ini di Pulau Banggi.
”Kita akan berikan borang maklumat keluarga lebih awal supaya apabila kita datang, kita hanya perlu menyemak dan mengeluarkan sijil lahir dan MyKad kepada pemohon yang layak,” jelasnya.

Sejak 2010, JPN memperkenalkan dua bentuk sijil kelahiran iaitu sijil berwarna hijau untuk anak bertaraf warganegara dan sijil berwarna merah untuk anak bukan taraf warganegara.
Dengan adanya sijil lahir berwarna merah ini, mudah bagi JPN mengenalpasti anak bukan warganegara.

”Sijil lahir berwarna merah ini mereka perlu bawa ke Jabatan Imigresen bagi pendaftaran pasport,” ujarnya.

Mengenai saranan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang mahu Kerajaan Persekutuan menghentikan sementara program pendaftaran lewat sijil kelahiran di Sabah, Ismail berkata, JPN tidak akan berhenti menjalankan program berkenaan.

”Kita kena masuk kampung sebab Orang Asal (native) dan bumiputera yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman masih banyak yang belum mendaftar sijil kelahiran.
”Apabila kita berhenti, kita tidak mahu anak-anak orang tempatan kita tidak mempunyai MyKad dan sijil kelahiran.

“Jika kita tunggu mereka datang ke pejabat JPN, itu agak sukar kerana mereka berdepan masalah kewangan dan pengangkutan.Jadi, kita tidak boleh biarkan mereka begitu kerana itu akan menimbulkan masalah apabila anak mereka ingin bersekolah kelak,” katanya.