JPN Nafi Keluarkan Borang Permohonan IC, Buat Laporan Polis

480

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan terlibat dalam urusan pengeluaran borang permohonan daftar kad pengenalan (IC) di Sabah yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu berkata, beberapa keping gambar borang permohonan yang disebarkan adalah bukan dokumen rasmi yang dikeluarkan dan digunakan JPN bagi tujuan pendaftaran.

Kata jabatan itu, satu laporan polis akan dibuat berhubung perkara itu dan JPN juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkepentingan lain bagi menjalankan siasatan lanjut.

“JPN meminta orang ramai tidak mempercayai dan menyebarkan maklumat palsu berkenaan, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan gangguan ketenteraman awam.

“JPN tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang perseorangan untuk mewakili JPN dalam apa-apa urusan,” kata JPN dalam kenyataan itu.

Menurut JPN, semua dokumen yang dikeluarkan jabatan itu hanya boleh diperoleh di pejabat JPN sahaja bukannya diedarkan kepada orang ramai dengan sewenang-wenangnya.

Sehubungan itu katanya, sesiapa yang mahu mendapatkan maklumat berkaitan JPN adalah dinasihatkan untuk hadir ke mana-mana pejabat JPN atau melayari laman sesawang rasmnya di www.jpn.gov.my atau menghubungi unit komunikasi korporat di talian 03-8880 7077/ 7067/ 7069/ 8206 atau emel ke pro@jpn.gov.my.