JPBN Sarawak Akan Tambah Baik EnterSarawak Sebagai Kawalan Sempadan

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan menambah baik tatacara kemasukan ke Sarawak, terutama yang melibatkan laman EnterSarawak, sebagai kawalan sempadan setelah mengambil maklum cadangan dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).

JPBN dalam kenyataan memaklumkan JKNS telah mencadangkan bahawa permohonan kemasukan melalui laman EnterSarawak masih diperlukan bagi bukan warganegara dan warganegara Malaysia yang bukan berasal dari Sarawak. 

Menurutnya ia bertujuan memudahkan pengesanan kontak oleh Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah bagi pengembara yang memasuki Sarawak apabila terdapat kes yang dikesan positif COVID-19.

“Bagi mereka yang tidak menetap di Sarawak, maklumat dalam EnterSarawak akan memudahkan pengesanan kontak agar langkah kawalan dapat diambil dengan cepat,” kata kenyataan itu.

Hari ini Sarawak merekodkan 767 kes baharu COVID-19, dengan 756 kes melibatkan mereka yang tidak bergejala dan bergejala ringan manakala 11 kes lagi adalah mereka yang mengalami jangkitan paru-paru serta memerlukan bantuan pernafasan.

Kes kematian baharu adalah 15 kes, kesemuanya direkodkan antara 11 dan 19 Okt serta melibatkan mereka yang berumur 46 hingga 86 yang mempunyai latar belakang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.