JPBM Akan Bina Balai Bomba Atas Air Di Sabah – Ketua Pengarah

72
MOHAMMAD HAMDAN WAHID

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi fokus kepada pembangunan balai bomba kategori E di lokasi-lokasi terpilih kampung atas air di Sabah.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pembangunan balai bomba sebegitu amat diperlukan berikutan kes kebakaran perkampungan atas air yang kerap berlaku di negeri ini.

Beliau berkata, pembinaan balai bomba di perkampungan atas air ini dapat membantu pasukan JBPM bertindak pantas sekiranya berlaku kejadian kecemasan seperti kebakaran.

“Usaha ini akan menjadikan tindakan menyelamat dan memadam kebakaran lebih cepat, cekap dan berkesan,” katanya semasa Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Bomba Malaysia (SUKBOM) 2019, di sini pada malam Isnin.

Jaujan (empat kiri) menyampaikan Piala Kejohanan kepada pasukan yang menang, sambil disaksikan oleh Hamdan (tiga kiri) serta tetamu kehormat yang lain.

Menurutnya, pendekatan intervensi darat yang digunapakai selama ini dilihat kurang berkesan dalam menangani kes-kes kecemasan seperti kejadian kebakaran.

Namun, beliau percaya dengan adanya pembangunan balai bomba atas air yang lengkap dengan kemudahan bot penyelamat, perkhidmatan JBPM akan menjadi lebih berkesan.

Untuk tahun ini, JPBM juga memberi fokus bagi mendapatkan jentera bersaiz kecil agar jentera itu dapat digunakan memasuki kawasan terpencil seperti kenderaan pacuan empat roda.

Mohammad Hamdan berkata, berkemungkinan JBPM akan menerima 50 buah pacuan empat roda, 50 buah jentera pemadaman bomba sukarela dan 99 buah motosikal. Kesemua aset itu akan diagihkan kepada JBPM seluruh negara.

“Ini semua adalah kelengkapan dan peralatan bagi memperkasakan lagi perkhidmatan kebombaan di seluruh negara. Saya percaya dengan penambahan aset ini, perkhidmatan JBPM akan lebih cekap dan pantas,” katanya.

Beliau berkata, JBPM juga sedang berusaha mendapatkan satu jentera hazmat yang kini masih dalam proses perolehan.