Jo-Anna: Pengundi Muda Akan Meremajakan Demokrasi Negara

284
JO-ANNA SUE HENLEY RAMPAS

KOTA KINABALU: Rakyat Malaysia telah menunjukkan kematangan dalam proses demokrasi apabila buat pertama kali menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, adalah amat bersejarah apabila semua Ahli Parlimen membuat keputusan mengundi sebulat suara bagi membenarkan generasi muda terlibat dalam pembentukan negara.

“Proses menurunkan had umur mengundi kepada 18 daripada 21 adalah satu kejayaan dalam sejarah masyarakat Malaysia.

“Ini akan meremajakan Malaysia. Perspektif ini akan memulakan tsunami orang muda untuk memainkan peranan dinamik dalam organisasi politik.

“Akan ada semangat jiwa muda dalam landskap politik negara dengan melibatkan tenaga muda untuk proses membuat polisi,” katanya yang merupakan Timbalan Ketua Wirawati Warisan dalam satu kenyataan hari ini.

Jo-Anna yang menggambarkan kejayaan Rang Undang-Undang (RUU) itu sebagai bakal merancakkan proses demokrasi dan politik negara berkata, perkara tersebut turut menghidupkan semangat keremajaan dalam sistem demokrasi negara.

“Ini adalah masanya kita perlu menghargai idea-idea baharu yang akan dibawa oleh golongan belia dengan menganggap mereka sebagai rakan seangkatan bukan hanya pengundi.

Tambah beliau, rakyat Malaysia perlu bersedia menerima perubahan yang progresif dalam negara selepas ini.