Jo Tinjau Kawasan Bukit Ditoreh, Syarikat Diarah Berhenti Kerja

119
Jo-Anne mendengar sendiri aduan penduduk kampung tentang aktiviti menoreh bukit yang dilakukan tanpa kebenaran.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Aktiviti menoreh bukit yang didakwa dilakukan secara haram oleh sebuah syarikat swasta di enam buah kampung di Kiulu telah dihentikan serta-merta selepas tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri di Kementerian Kewangan, Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, beliau sendiri telah meninjau sendiri kawasan tersebut semalam dan menghubungi pihak berwajib untuk mengambil tindakan segera.

“Saya telah turun ke kawasan yang didakwa, bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kiulu, Mudik Amat serta Pemaju Mukim, Rosalia Kihob dan Hamilton Gumis bagi melihat kawasan yang diceroboh di kampung itu.

“Hasil perbualan telefon dengan Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Tuaran, Michael Donnie Akang, beliau telah memaklumkan bahawa kerja-kerja menoreh bukit di kawasan tanah rizab itu telah pun dihentikan oleh syarikat terbabit pada hari yang sama,” katanya kepada Borneo Today ketika dihubungi hari ini.

Kawasan bukit yang ditoreh menjejaskan alam sekitar dan menyebabkan hakisan tanah.

Semalam BorneoToday melaporkan tentang aduan penduduk di enam buah kampung berkenaan iaitu Kampung Bukit Giling, Kauluan, Tambulaong, Tambalugu, Bakut serta Dansangai tentang kewujudan aktiviti menoreh bukit di situ.

Menurut penduduk di situ, aktiviti tersebut menyebabkan berlaku hakisan tanah dan merosakkan keadaan alam sekitar di situ.

Jo-Anne berkata, ketika berjumpa dengan pihak syarikat, mereka menunjukkan dokumen mendakwa mendapat kebenaran untuk menoreh bukit setelah berbincang dengan pemimpin-pemimpin masyarakat di situ.

“Perbincangan itu berlaku pada 15 Disember 2018, namun pada masa itu masih belum ada lantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) jadi surat itu tiada asas untuk digunakan maka aktiviti tersebut telah diarah berhenti.

“Saya lihat sendiri memang jelas kesan ditoreh tapi belum sampai di kawasan ladang penduduk kampung,” katanya.

Jo-Anne bergambar bersama penduduk dan pemimpin masyarakat.

Mengulas lanjut katanya, terdapat kira-kira 1,500 penduduk kampung di kawasan terlibat dan mereka telah membuat permohonan kepada kerajaan terdahulu agar kawasan berkenaan digazetkan sebagai kampung tetapi tidak pernah diluluskan.

“Sudah 30 tahun mereka mohon tetapi tidak pernah diluluskan sehingga menimbulkan pertikaian.

“Selepas ini saya sendiri akan membawa permohonan mereka kepada Jabatan Tanah dan Ukur demi memastikan kebajikan penduduk di siti terjaga,” katanya.

BERITA BERKAITAN: –

Syarikat Didakwa Ceroboh Tanah Rizab, ‘Kebal’ Daripada Tindakan