Jo-Anna Bidas Ongkili Salahkan Rakyat Sabah Atas Kegagalan BN

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KIULU: Parti Warisan Sabah membidas kenyataan yang telah dibuat oleh pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah, Dr Maximus Ongkili mengenai sambutan luarbiasa rakyat Sabah terhadap Warisan serta kritikan beliau terhadap enam kerusi yang dikuasai oleh pembangkang pada masa ini.

Menurut ikon belia Warisan, Jo-Anna Henley Rampas, Ongkili ternyata semakin bimbang dengan peluang parti PBS untuk mempertahankan saki-baki kerusi yang masih dipegang oleh parti itu.

Jo-Anna Henley Rampas

“Ongkili sedar bahawa beberapa kerusi penting PBS seperti DUN Tambunan dan DUN Kiulu besar kemungkinan akan jatuh ke tangan Warisan pada pilihanraya negeri akan datang ini.

“Kegusaran Ongkili sebenarnya berasas kerana di DUN Tambunan, ramai saudara-mara dan orang-orang yang penting kepada Joseph Pairin Kitingan telahpun meninggalkan parti PBS dan telah menyertai Warisan.

“Keputusan orang-orang seperti Crispin Kitingan, Justin Alip dan Basel Bullah untuk menyertai Warisan bukan kerana didorong rasa tidak puas hati keatas mana-mana individu di dalam PBS, tetapi kerana mereka percaya bahawa Warisan boleh mengembalikan negeri Sabah ini ke satu tahap yang membanggakan dalam persekutuan Malaysia ini,” ujar Jo-Anna.

Tambahnya, di DUN Kiulu, sambutan luar biasa penduduk disitu terhadap Warisan menjadi bukti bagaimana warga Kiulu amat dahagakan pembangunan bukan hanya dari segi fizikal semata-mata tetapi dari segala aspek terutamanya pendidikan, ekonomi dan kesihatan.

“Maka dalam hal ini, PBS sebenarnya tidak mempunyai sebarang pilihan lain selain daripada memperkecilkan kemampuan pemimpin-pemimpin muda Warisan yang benar-benar ikhlas untuk memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat Sabah,” dia berkata.

Jo-Anna berkata antara usaha yang dibuat oleh PBS untuk terus kekal relevan dalam senario politik Sabah termasuklah dengan memainkan balik dendangan lagu perjuangan parti itu selama 30 tahun dalam isu-isu yang berkaitan PTI, Perjanjian Malaysia 1963, 20 Perkara, Borneonisasi dan lain-lain lagi.

“Tidak juga dinafikan bahawa terdapat segelintir pihak yang menakut-nakutkan rakyat Sabah mengatakan bahawa dengan mengundi Parti Warisan, lebih banyak PTI dan “lanun” yang akan datang untuk menceroboh bumi Sabah dan merampas hak-hak istimewa Bumiputera Sabah.

Ini ialah satu propaganda yang ditimbulkan oleh kerana kekuatan Warisan Sabah yang semakin jelas di seluruh pelusuk Sabah dan tambahan pula, dengan cara pentadbiran kerajaan sekarang, masalah PTI di Sabah masih belum dapat diselesaikan secara menyeluruh, kata Jo-Anna.

Pelbagai reaksi orang terhadap Parti Warisan Sabah, namun dengan penjelasan yang jelas tanpa provokasi atau sindiran memperlihatkan keikhlasan kita untuk memperjuangan SabahUbah! – Jo-Anna

“Saya tidak mahu memperlekehkan perjuangan PBS selama ini dan saya hormati apa yang mereka cuba mahu capai ini,” kata beliau.

“Walaubagaimanapun, saya berpendapat bahawa 30 tahun adalah satu tempoh yang amat lama untuk mencari penyelesaian kepada masalah-masalah diatas walaupun PBS ialah parti yang kedua terbesar di negeri selepas UMNO.

“Saya juga percaya hampir semua rakyat Sabah yang masih menyokong perjuangan PBS berbuat demikian semata-mata kerana mereka masih mempunyai ‘sentimental value’ dengan parti itu walaupun mereka sendiri tahu bahawa ianya amat sukar untuk PBS untuk mencari penyelesaian kepada masalah-masalah tersebut.

Inilah sebabnya mengapa ramai pemimpin akar umbi PBS seluruh Sabah meninggalkan parti tersebut dan menyertai Warisan seperti mana yang dipaparkan samada di media sosial mahupun di akhbar-akhbar utama Sabah; mereka sudah kehilangan kepercayaan dengan keupayaan PBS untuk memperjuangkan nasib dan masa depan negeri ini.

Jadi saya percaya pada pilihanraya yang akan datang ini, Warisan akan mempunyai peluang yang amat cerah disemua kawasan yang bakal ditandingi oleh PBS dan ini sudah pasti akan menambah peluang untuk Warisan mengambil alih Kerajaan Negeri Sabah pada pilihanraya yang akan datang ini,” ujarnya.

Jo-Anna juga menyelar sikap Ongkili yang mengugut penduduk kampung mengenai ‘ketiadaan pembangunan’ sekiranya mereka menyokong Warisan.

“Sekiranya Ongkili mengatakan bahawa tiada pembangunan akan dilaksanakan dikawasan yang dikuasai oleh pembangkang, bukankah itu satu bentuk penganiayaan oleh PBS terhadap rakyat Sabah yang hanya menggunakan hak mereka yang diperuntukkan dibawah Perlembagaan Malaysia untuk mengundi mana-mana parti politik yang mereka sokong,” katanya.

“Ianya sesuatu yang amat menyedihkan apabila Maximus yang tidak pernah berterima kasih dengan rakyat Sabah, mengugut mereka lagi dengan ketiadaan pembangunan sekiranya Warisan disokong oleh rakyat Sabah,” tegas Jo-Anna.