Calon Parlimen Tuaran itu menyifatkan pengorbanan Hominodun dalam membantu masyarakat yang kebuluran memberi inspirasi kepada Ratu Unduk Ngadau 2007 ini untuk berjuang membantu rakyat Sabah ke arah yang lebih baik.
Walau ada pihak mengatakan beliau masih mentah dalam politik tapi, apa yang penting adalah semangat perjuangan yang kental dalam membawa perubahan di negara dan negeri ini.
“Jika mahu lakukan perubahan, saya harus buat sesuatu dengan mengambil langkah setapak ke hadapan.
“Saya memberi analogi tentang Hominodun dengan apa yang kita buat sekarang di Sabah.
“Jika Hominodun sanggup korbankan diri demi membantu masyarakat kebuluran, selaku bekas Unduk Ngadau saya juga ingin berkorban demi membawa perubahan kepada Sabah,” katanya semasa program ramah mesra di Tamparuli, malam tadi.
Jo-Anna yang berhadapan persaingan enam penjuru di kerusi Parlimen Tuaran itu yakin tahap sokongan rakyat terhadap Warisan bertambah baik sejak dari hari pertama sehingga hari-hari terakhir berkempen.
Katanya, beliau boleh katakan pengundi-pengundi muda, yang mana mereka lebih faham bahawa pilihan raya ini akan menentukan masa depan mereka.
“Sepanjang tempoh dua minggu ini, saya melihat lebih banyak anak muda yang sudah tampil dan ingin mengambil tahu tentang pilihan raya dan apa sebenarnya politik,” katanya.
Menurut beliau, pada pilihan raya ini beliau tampil dengan manifesto ‘Tuaran Bersih’ bukan sekadar persekitaran yang bersih sebagai destinasi eko-pelancongan tetapi, juga bersih dari amalan rasuah.
“Apa yang saya katakan bersih di sini adalah pentadbiran yang telus terutama di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.
“Kita mahu tahu kemana peruntukan disalurkan dan biarlah ia menepati kehendak dan keperluan rakyat,” ujarnya.
Apabila Tuaran berjaya dibersihkan maka, pelaburan sudah pasti akan dibawa masuk ke sini dan ia sekaligus boleh mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan kepada anak tempatan
Memandangkan Sabah dalam keadaan kritikal sekarang kerana ramai anak muda keluar dari Sabah untuk bekerja di luar maka, peluang pekerjaan untuk belia perlu diberi perhatian maka, beliau akan cuba membawa perubahan bagi membantu belia-belia tempatan di kawasan berkenaan.