JKNS Tidak Mampu Saring 100,000 Pekerja Asing Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS)  tidak akan mampu menampung keperluan untuk menjalankan saringan pemeriksaan Covid-19 ke atas semua pekerja asing yang berada di Sabah.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Christina Rundi berkata, hospital-hospital kerajaan tidak akan mampu menampung keperluan untuk melakukan saringan ke atas pekerja asing di negeri ini jika sektor ekonomi dibuka dengan serta-merta.

Katanya, sekiranya ia dilakukan secara berperingkat mungkin boleh namun, jika sektor ekonomi dibuka sekaligus, ia akan mendatangkan masalah bagi menjalankan saringan pemeriksaan Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat mengenai pekerja asing ini dan JKNS mendapati saringan pemeriksaan tidak boleh dijadikan aras tanda untuk membenarkan sektor ekonomi dibuka.

Katanya, sebelum sesuatu sektor perniagaan dibuka, majikan harus memastikan semua kakitangannya sihat, Majikan juga perlu berupaya menguruskan kakitangan yang mungkin jatuh sakit ketika bekerja.

Menurutnya, di peringkat JKNS, mereka akan membantu mana-mana sektor yang ingin membuka operasi perniagaan dalam aspek menetapkan prosedur operasi standard (SOP).

“Kita boleh membantu dengan memberi nasihat agar mereka mengikut SOP yang ada kerana kita perlu faham bahawa pandemik masih berlaku.

“Keadaan sekarang bukan sekadar kembali untuk bekerja seperti biasa. Kita perlu faham keadaan semasa dimana, majikan perlu memastikan ada saringan pemeriksaan dilakukan, perlu pastikan kakitangan amalkan penjarakan sosial, menggunakan pelitup muka (face mask) dan sanitasi tangan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai keperluan menjalankan saringan pemeriksaan Covid-19 ke atas pekerja asing yang berada di Sabah.

Christina berkata, bagi mereka yang bekerja di kaunter dan berdepan dengan orang ramai juga perlu mengamalkan bekerja dalam norma baharu.

Ditanya jika sektor swasta mempunyai alat saringan Covid-19 yang mencukupi, beliau berkata, perkara itu melibatkan permintaan dan penawaran.

Jika ada permintaan, sudah pasti akan ada pihak yang menawarkan khidmat menjalankan ujian saringan berkenaan.

Semalam, sebuah berita portal nasional melaporkan Sabah tidak akan mempunyai reagen mencukupi bagi menjalankan ujian saringan Covid-19 jika perlu menjalankan ujian swab ke atas 100,000 pekerja asing.