JKM Bantu Selesai Masalah Air Di Sepanggar

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah akan membantu mencari jalan penyelesaian berhubung masalah bekalan air di University Apartment, dalam masa terdekat.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Dr Roland Chia berkata, pihaknya menyedari masalah air di kawasan itu sudah berlanjutan sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, masalah bekalan air berkenaan juga menjejaskan lebih 5,000 penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan.

“Untuk penyelesaian awal, kita menyediakan 10 lori tangki air yang akan menjalankan kerja-kerja membekal air di kawasan itu bermula 1 April ini (esok).

“Proses bekalan air ini akan menggunakan lori tangki milik beberapa jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Beliau mengulas perkara itu selepas menghadiri mesyuarat antara kerajaan negeri serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan beberapa agensi lain yang diadakan bagi membincangkan masalah air di kawasan berkenaan.

Roland berkata, selain penduduk University Apartment, bekalan air itu juga akan dapat digunakan penduduk University Condo 1 and University Prime Condo yang turut terletak di Sepanggar.

“Bekalan air ini akan diberikan secara percuma memandangkan jentera yang digunakan juga adalah milik jabatan dan kerajaan.

“Usaha ini adalah hasil perbincangan dan kesepakatan antara JKM, JBPM, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Pejabat Daerah Tuaran, Papar, Penampang, Papar serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Pihak pengurusan kawasan terlibat juga sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan ia dijangka bermula dalam tempoh dua hari lagi,” katanya.

Sementara itu, Roland berkata, JANS sedang merangka proses catuan air untuk kawasan-kawasan terbabit bagi mendapat bekalan air terawat dari Loji Air Telibong.

Katanya, ia adalah langkah pertama penyelesaian masalah bekalan air University Apartment.

“JANS juga merancang perkongsian bekalan air antara Kota Kinabalu dan Tuaran. Kita berharap usaha-usaha ini akan dapat menyelesaikan masalah penduduk di sini,” katanya.

Semalam media melaporkan Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) turut menyuarakan berhubung masalah yang membelenggu penduduk Sepanggar khasnya apabila mengalami masalah bekalan air sejak beberapa bulan lalu.