JKDM Sabah Rampas 23KG Dadah bernilai RM1.15 Juta

Abdullah menunjukkan dadah yang berjaya dirampas sepanjang Ops Ice Break II 2020 baru-baru ini.

OLEH NORA AHMAD
TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas sebanyak 23 kilogram (kg) dadah jenis Methamphetamine bernilai RM1.15 juta menerusi tiga rampasan berasingan di Tawau dan Kota Kinabalu baru-baru ini.

Dalam operasi antara 1 hingga 4 Julai lalu turut berjaya menahan empat suspek menerusi dua tangkapan berasingan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, tangkapan dan rampasan dibuat melalui Ops Ice Break II 2020 dan tangkapan pertama dilakukan pada 1 Julai lalu di Lapangan Terbang Tawau.

“Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat komersial ditahan bersama bagasi yang disyaki mengandungi bungkusan Methamphetamine dengan anggaran berat kasar kira-kira 4.193 kg dengan nilai RM209,650.

“Hasil siasatan lanjut dengan bantuan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kastam berjaya menahan seorang lagi suspek wanita berusia 49 tahun di Nilai, Negeri Sembilan atas kesalahan sama,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Katanya lagi, rampasan dadah yang kedua dibuat pada 2 Julai lalu di tandas Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Dalam kejadian jam 11.30 pagi terdapat satu beg plastik ditemui ditinggalkan di dalam tandas berkenaan.

“Hasil pemeriksaan pegawai Kastam menemui lapan bungkusan yang disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat kira-kira lapan kilogram dengan bernilai RM400,000,” katanya.

Tambah Abdullah lagi, rampasan ketiga pula dibuat pada 4 Julai lalu di lokasi sama iaitu di KKIA.

“Dalam kejadian jam 12.34 pagi itu, turut ditahan dua lelaki tempatan bersama dua bagasi dan hasil pemeriksaan lanjut terdapat bungkusan disyaki mengandungi bahan terlarang iaitu dadah jenis Methamphetamine dengan berat kira-kira 11 kg yang dianggarkan bernilai RM550,000,” katanya.

Sehubungan itu, Abdullah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Abdullah dalam pada itu turut memaklumkan JKDM Sabah turut berjaya merampas tiga kontena berisi minuman keras disyaki belum lulus cukai dengan anggaran jumlah nilai dan jumlah cukai sebanyak RM303,316.13 dan RM1,268,015.44 di beberapa lokasi berasingan sekitar Kota Kinabalu.