JKDM Rampas Rokok Seludup Bernilai Hampir RM300,000 Di Tawau Dan Sandakan

(Dari kiri) Pegawai Kastam Kanan Safri Tabarak, Penolong Kanan Pengarah Kastam II Makmur Lacho, Penolong Pengarah Kastam Ali Hassan Buglayan dan Pegawai Kastam Kanan Abdullah Abdul Salam menunjukkan rokok yang dirampas di Tawau.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas rokok kretek dipercayai diseludup bernilai hampir RM300,000 termasuk nilai cukai di dua lokasi berasingan sekitar Tawau dan Sandakan, dalam Ops Benteng, 2020, semalam.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Abdullah Jaafar berkata, tangkapan pertama membabitkan 8,800 bungkus rokok kretek pelbagai jenama bernilai hampir RM30,000 dengan cukai RM104,288, di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abaka, Jalan Tawau-Kalabakan, semalam.

“Dalam kejadian jam 4 petang itu, JKDM Tawau berjaya menahan sebuah lori berjenama Volvo bersama ‘dumb trailer’.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, JKDM berjaya menemui bungkusan rokok yang disembunyikan di bahagian bawah ‘dumb trailer’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Ali Hassan (depan) menunjukkan lokasi rokok yang disembunyikan.

Sehubungan itu, JKDM turut menahan pemandu lori berkenaan, warga tempatan berumur 37 tahun dan direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Abdullah berkata, pada hari sama, pihaknya turut melakukan rampasan rokok kretek dipercayai hasil penyeludupan di Sibuga Jaya, Fasa 2, Batu 8, Sandakan.

“Dalam kejadian jam 8 malam itu, JKDM berjaya menemui beberapa kotak berisi rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai RM28,000 dan cukai terlibat RM134,800.

“Bagaimanapun, tiada suspek yang ditahan dalam operasi ini,” katanya.

Sehubungan itu, semua rokok berkenaan dirampas termasuk lori dengan anggaran nilai keseluruhan lebih RM400,000 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(e) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman dibawah Seksyen 135(v)(aa) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda, atau penjara atau kedua-duanya sekali.