Jimmy Wong sumbang empat unit mesin Mist Blower di Tawau

Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau Tony Koh bagi pihak MPT menerima 2 unit Mist Blower disumbang oleh Datuk Jimmy Wong.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Jimmy Wong Sze Phin menyumbangkan empat unit mesin Mist Blower kepada Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Pejabat Kesihatan Tawau, di sini, hari ini.

Beliau berkata sumbangan itu diserahkan kepada dua agensi berkenaan dalam usaha memudahkan kerja pembersihan dan pembasmian kuman di sekitar daerah ini.

“Sumbangan ini bertujuan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kami terhadap agensi kerajaan yang berusaha keras mengekang penularan pandemic Covid-19 khususnya di Tawau yang mencatatkan jumlah  pesakit positif yang tertinggi di Sabah.

“Saya berharap dengan adanya kelengkapan mesin Mist Blower ini, ia dapat membantu MPT dan Pejabat Kesihatan Tawau dalam melakukan pembersihan dan ‘nyah’ kuman di tempat awam yang menjadi tumpuan orang ramai seperti masjid, pasar, hospital, penjara, premis kedai dan taman perumahan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.