JIM Cadang Perkhidmatan Terminal Feri Tawau Beroperasi Setiap Hari

TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah melihat keperluan meneruskan waktu operasi Terminal Feri Tawau (TFT) kepada setiap hari termasuk hujung minggu berbanding enam hari waktu bekerja ketika ini.

Pengarahnya Datuk Dr Muhamad Sade Amin berkata, ia antara cadangan Konsulat Republik Indonesia (KRI) terutamanya membabitkan laluan Tawau-Nunukan.

“Perkara tersebut sudah dibincangkan JIM bersama beberapa agensi yang beroperasi di TFT bagi mendapat pandangan mereka.

“Secara dasarnya, agensi berkaitan tidak mempunyai masalah melanjutkan operasi TFT iaitu dibuka setiap hari termasuk hari Ahad,” katanya kepada media, di sini, malam tadi.

Turut hadir Konsul Republik Indonesia di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo.

Muhamad Sade berkata, pihaknya akan membawa cadangan tersebut kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan.

“Saya berharap agar waktu operasi baharu itu akan bermula 16 Februari depan.

“Namun, ia terpulang kepada keputusan kerajaan negeri untuk menerimanya atau tidak,” katanya.

Menurut beliau, dengan penambahan waktu operasi tersebut, pihaknya yakin ia mampu menjana pulangan ekonomi lebih baik kepada Tawau.

“Ia juga sebagai persediaan awal kita terhadap pelan perpindahan ibu negeri Indonesia ke Kalimantan Timur yang dijangka berlaku pada tahun 2023,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Sade menjelaskan, pihaknya sedang mencari tapak yang sesuai untuk membangunkan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQS) di Serudong selaras dengan pengumuman dalam Bajet 2020.

“Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, kami mencadangkan satu lokasi yang terletak bersebelahan dengan Indonesia.

“Lokasi itu juga sudah tersedia beberapa prasarana namun terbengkalai ekoran isu teknikal berkaitan kelulusan,” katanya.

Tambahnya, ia memerlukam kajian dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terutamanya membabitkan aspek keselamatan.