Jika RUU Lulus, Sabah, Sarawak Sudah Ada Legitimasi Tuntut Hak

6672
Zainnal Ajamain menunjukkan buku Perjanjian Malaysia 1963 yang menerangkan tentang kedudukan Sabah dan juga Sarawak.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang gagal diluluskan kelmarin (Selasa April 9, 2019) sepatutnya memberi legitimasi kepada Sabah dan Sarawak dalam tuntutan ke atas kekayaan daripada hasil bumi kedua-dua negeri.

Penasihat Kerajaan Sabah Bagi Hal Ehwal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Zainnal Ajamain berkata, pindaan berkenaan mengesahkan kedudukan Sabah sebagai rakan sekutu Semenanjung, justeru tuntutan dua perlima atau 40 peratus hasil negeri itu tidak boleh dilambat-lambatkan lagi.

Katanya, amat menyedihkan apabila Sabah diwariskan dengan sebuah pelantar benua yang kaya dengan hasil bumi tetapi tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menggunakannya kerana diambil oleh pihak lain.

“Nilai kekayaan ini berbilion ringgit dalam industri minyak dan gas tetapi telah terlepas kerana RUU berkenaan tidak diterima oleh pihak yang lain.

“Sebagai permulaan kita harus mengambil peluang yang ada sekarang bukannya menuntut lebih kerana akhirnya hak kita telah terlepas dan mungkin perlu menunggu lebih lama lagi selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

RUU itu yang dibaca kali kedua oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

Pindaan tersebut adalah sama tanpa sebarang ubah suai dengan Perlembagaan Persekutuan pada waktu MA63 ditandatangani untuk membentuk Persekutuan Malaysia.

Bagaimanapun hanya 138 sokongan diperoleh ketika undi belah bahagian dilakukan berbanding 148 yang perlu manakala 59 lagi tidak mengundi termasuk semua Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Zainnal berkata, penolakan terhadap RUU itu membuktikan masih banyak pihak yang bercakap seolah-olah memahaminya tetapi terbukti bahawa mereka telah terkeliru serta tidak tahu apa-apa.

“Semasa perbahasan ada sesetengah pihak membawa isu baru, selain ada juga mengatakan bahawa interpretasi lebih jelas mesti diberikan kepada perkataan Persekutuan (the Federation).

“Itu isu dalam interpretasi bukan Perkara 1(2). Ini tidak sepatutnya digunakan sebagai alasan tetapi itulah yang mereka lakukan,” katanya.

Tegas beliau, pemimpin-pemimpin Sarawak yang tidak membantah namun tidak mengundi untuk menyokong perlu bertanggungjawab jika tuntutan MA63 masih tidak terlaksana.

“Anda tidak boleh mencuci tangan tetapi perlu bertanggungjawab, setelah 55 tahun menunggu peluang telah terhidang di depan mata,” katanya.

Tambah Zainnal, peluang kedua masih ada untuk membentangkan semula RUU itu tetapi tidak diketahui bila selepas peluang pertama dilepaskan.