JHL Diminta Urus Gua Gomantong, Bukan Kontraktor

Abdullah Minun, tengah, bersama Mahmod Hassan ketika lawatan tersebut.

KINABATANGAN: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) mendesak kerajaan mengambil alih pengurusan di Gua Gomantong yang kini dikendalikan oleh pihak swasta kerana dikhuatiri mengancam habitat burung walit di pusat tarikan pelancong itu.

Pengarahnya, Abdullah Minun Sahirun berkata, Jabatan Hidupan Liar (JHL) sepatutnya memimul tugas menjaga gua berkenaan bukannya diserahkan sepenuhnya kepada pihak kontraktor.

Katanya, kontraktor dilantik hanya menjaga beberapa tempat di gua berkenaan, namun penjagaan keseluruhan tidak diambil kira.

“Sepatutnya yang menjaga dan memastikan kelestarian pengurusan habitat yang terdapat di Gua Gomantong ini adalah kakitangan JHL sendiri bukannya pekerja kontraktor  kerana adalah tugas mereka untuk memastikan pemuliharaan dan pembiakan burung walit dalam keadaan baik.

“Penjagaan habitat dan pembiakan burung walit memerlukan sistem yang baik, bukannnya mampu dilaksanakan oleh kontraktor kerana mereka hanya menjaga kawasan tertentu,” katanya kepada Borneo Today.

Masalah tersebut dikesan dalam lawatan pertamanya ke pejabat UPPM Sukau baru-baru ini.

Turut bersama beliau dalam lawatan ke gua berkenaan ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sukau, Mahmod Hassan dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Sukau, Ezall Rohaizad Mohd.

Beberapa kawasan telah dilawat sepanjang program sehari berkenaan iaitu kilang pemprosesan sarang burung walit, pusat pelanconhan Kampung Bilit, tapak masjid baharu Kampung Paris dan Kopel Batu Putih, Kinabatangan.

Sementara itu, mengulas lanjut tentang pengurusan Gua Gomantong, Abdullah berharap langkah segera dapat diambil agar gua berkenaan sentiasa terjaga dan terus menjadi salah satu produk tarikan di daerah berkenaan.