Jetsin Sumbang 1,400kg Ayam Untuk Penduduk Pulau Gaya

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Agihan bantuan bakul makanan biasanya hanya melibatkan bahan makanan kering.

Namun hari ini, kehadiran syarikat Jetsin Sdn Bhd dalam menyumbang 1,400 kg ayam sejuk beku untuk 463 keluarga di Pulau Gaya dilihat membantu menjayakan Misi Jelajah Kasih Pulau Gaya yang dilaksana gabungan sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini.

Program terbesar yang melibatkan sembilan gabungan NGO ini menyasarkan mengagihkan bakul makanan berserta ayam sejuk beku kepada setiap keluarga yang berada di enam kampung di Pulau Gaya.

Koh Chung Jade

Pengarah Urusan Jetsin Sdn Bhd, Koh Chung Jade berkata, sumbangan daripada syarikat itu diharap membolehkan penduduk di pulau itu menikmati juadah yang mengenyangkan.

Katanya, beliau faham semasa pandemik Covid-19, ramai yang hilang punca pendapatan. Oleh itu, sedikit sumbangan sebegini mampu membolehkan mereka mendapat makanan yang mencukupi.

Dengan bantuan bakul makanan yang dilengkapi dengan dua ekor ayam sejuk beku, ia mampu memberi sedikit kelegaan kepada penduduk pulau yang terletak kira-kira 5 minit menaiki bot dari pusat bandaraya ini.

Beliau berkata, mereka menyumbangkan ayam sejuk beku kerana ia lebih tahan lama semasa proses agihan berbanding ayam segar yang mudah rosak.

“Saya dimaklumkan mengenai program anjuran sembilan NGO ini oleh Persatuan Skuad Komuniti Prihatin Sabah (KPS). Saya terpanggil untuk sama-sama menyertai program ini dengan menyumbangkan ayam sejuk beku untuk penduduk di enam kampung di Pulau Gaya.

“Diharap usaha sebegini akan memberi inspirasi kepada syarikat lain di luar sana untuk sama-sama menyumbang kepada orang susah yang begitu terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Misi Jelajah Kasih Pulau Gaya, di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum ini syarikat tersebut turut menyumbangkan bakul makanan kepada keluarga yang terkesan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu. Selain itu, mereka juga menyediakan pek makanan untuk petugas barisan hadapan.

Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, syarikat itu turut memasak dan menyediakan 500 pek makanan untuk petugas barisan hadapan di Hospital Queen Elizabeth setiap hari sehingga sekarang.

Jade berkata, semasa dua minggu pertama pelaksanaan PKPB juga, beliau menyumbang ayam untuk Program Soup Kitchen yang dilaksana oleh KPS.

Katanya, pek makanan itu diagihkan oleh KPS kepada mereka yang terkesan di sekitar bandaraya termasuk pemandu teksi yang hilang punca pendapatan dan pelajar Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) di Aeropod yang terkandas tidak dapat balik kampung.