Jeti Awam Percuma Buat Penduduk Kudat Siap Oktober Ini

Sebahagian Pekan Kudat. – Gambar internet.

KUDAT: Penduduk di daerah ini boleh menarik nafas lega apabila pembinaan jeti awam untuk kegunaan orang ramai mula dibangunkan dibawah pemerintahan Kerajaan Sabah baharu.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Ben Chong berkata, penduduk di situ sudah lama menanti pembinaan jeti khas untuk kegunaan orang awam ini.

BEN CHONG

Selama ini penduduk Kudat terpaksa menggunakan Terminal Feri yang digunakan oleh kapal-kapal nelayan besar. Tiada ruang khusus disediakan untuk bot-bot kecil untuk orang awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Kapor ini berkata, kerja-kerja pembinaan jeti awam ini sudah dimulakan dan ianya dijangka siap pada Oktober ini.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal kerana meluluskan pembinaan jeti ini. Ia menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib penduduk Kudat.

“Ucapan terima kasih juga kepada Ahli Lembaga Bandaran Kudat yang komited dalam merealisasikan pembinaan jeti awam ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ben berkata, pembinaan jeti awam ini akan membolehkan penduduk di Kudat mempunyai jeti yang selamat dan lebih kondusif. Ia kerana sebelum ini mereka akan melompat naik melalui benteng-benteng untuk ke daratan dan cara sebegitu agak berbahaya.

“Apabila jeti ini siap, penduduk di sini tidak perlu lagi risau soal keselamatan ketika turun dan naik bot,” jelasnya.

Beliau, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, kelulusan pembinaan jeti awam yang boleh digunakan secara percuma itu membuktikan kerajaan begitu prihatin dengan masyarakat di daerah ini yang kebanyakan berpendapatan rendah. Mereka boleh menggunakan jeti itu tanpa perlu membuat sebarang pembayaran.

Beliau juga mengingatkan kapal-kapal nelayan tidak menggunakan jeti awam ini.