Jerebu Terkawal, Tiada Keperluan Pembenihan Awan Di Sabah

63

KOTA KINABALU: Setakat ini tiada keperluan pembenihan awan perlu dilakukan di Sabah berikutan keadaan jerebu di negeri ini masih terkawal.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, disebabkan kekerapan hujan yang turun di Sabah dan ada kalanya ribut maka, tiada keperluan melakukan pembenihan awan buat masa ini.

”Saya sudah berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar di Kuala Lumpur dan kita masih belum boleh melakukan pembenihan awan sebab keadaan di Sabah masih terkawal.

”Bagaimanapun, kita tidak mengambil ringan keadaan ini dan kita sentiasa bersiap siaga untuk berdepan dengan perubahan iklim yang berlaku di dunia.

”Namun, setakat ini tiada kebakaran besar melanda Sabah. Kita juga telah maklumkan kepada pemilik ladang agar berhati-hati dalam keadaan cuaca tidak menentu ini,” katanya ketika ditanya mengenai langkah Kerajaan Sabah dalam berdepan dengan masalah jerebu seperti yang sedang berlaku di Kalimantan dan Sarawak.

Menurutnya, kerajaan akan memastikan sekiranya berlaku kejadian kebakaran, ia akan dipantau secara dekat.

Mohd Shafie berkata, sekiranya keadaan jerebu makin teruk, kerajaan akan menguruskannya dengan baik dan langkah penyelesaian seperti pembenihan awan mungkin akan dipertimbangkan.

Beliau juga menasihatkan pelajar sekolah agar mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya keadaan jerebu semakin teruk.