Jenifer Gesa Masyarakat Tempatan Mengekalkan Kebersihan Persekitaran

Jenifer, tengah, bersama beberapa sukarelawan dari Group Zero Trash Penampang pada gotong-royong itu.

Oleh LOITITLOITUT
PENAMPANG: Masyarakat tempatan perlu lebih bertanggungjawab dalam usaha bersama-sama mengekalkan kebersihan persekitaran di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog Jenifer Lasimbang berkata, tanggungjawab itu harus dipikul bersama-sama dan bukannya hanya mengharapkan pihak berkuasa tempatan.

“Premis makanan di sini khususnya perlu memainkan peranan penting untuk menyediakan suasana persekitaran yang bersih sebelum menyediakan makanan dan minuman kepada pelanggan.

“Jangan sesekali melaksanakan tanggungjawab itu hanya ketika mempunyai pemantauan daripada pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui dalam satu Program Gotong-Royong membersihkan tapak Tamu Donggongon pada Ahad.

Katanya, mengekalkan kebersihan adalah satu usaha yang mudah dan tidak perlu mewujudkan apa-apa akta bagi membolehkan masyarakat melakukan tanggungjawab itu.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi menjelaskan minda masyarakat perlu berubah bagi mengutamakan kebersihan persekitaran tanpa memberikan sebarang alasan.

“Bukan sahaja di premis makanan, kawasan lapang tetapi juga tandas perlu bersih sentiasa,” katanya.

Beliau juga memuji pelbagai pihak yang mewujudkan satu pergerakan sukarelawan dalam usaha membantu mengekalkan kebersihan di daerah itu.

Selain itu katanya, penggunaan bahan pencuci atau teknik pelupusan sampah secara organik juga kini dilaksanakan pelbagai pihak di sini dan usaha itu sangat positif berbanding dengan penggunaan bahan kimia.