Jenazah Pelajar UIN Shaiful Bukhari Dijangka Tiba Di Sandakan Hari Ini

5257
SHAIFUL BUKHARI

BELURAN: Jenazah Mohammad Shaiful Bukhari, pelajar yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jalan Garuda Sakti, Pekanbaru, Riau, Indonesia, Ahad lepas, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi ini.

Jenazah Shaiful Bukhari akan dipindahkan ke Lapangan Terbang Subang untuk diterbangkan dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Sandakan.

Shaiful dan rakannya, Ameer Hakimi yang menunggang sebuah motosikal dilaporkan terlanggar sebuah lori yang berhenti di tengah jalan di Pekanbaru.

Kedua-dua mangsa adalah pelajar Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim (UIN Suska) Riau.

Bapa Shaiful, Amat Saruna, berkata anak sulungnya itu berada dalam tahun akhir pengajian dan sepatut menggenggam ijazah pada Ogos depan.

Katanya, kali terakhir beliau bertemu dengan arwah ialah Mac lalu ketika pulang bercuti di kampung sebelum kembali ke Indonesia pada 17 Mac.

“Besar harapan saya kepada arwah, namun Allah lebih menyayanginya. Tidak dapat digambarkan kesedihan saya,” katanya ketika dihubungi portal online NSTP.

SHAIFUL

Beliau berkata, jenazah Shaiful Bukhari akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Muanad Satu, di sini.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia berkata, ekoran kemalangan berkenaan, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Aulia yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

“Saiful disahkan meninggal dunia jam 5 petang ketika dalam perjalanan ke Hospital Aulia, manakala Ameer dipindahkan ke Rumah Sakit Dr Sebastian berdasarkan jangkaan awal pihak hospital bahawa kecederaannya tidak terlalu serius.

“Namun, pemeriksaan lanjut mendapati bahawa mangsa itu mengalami kecederaan parah pada tulang rusuk sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 5.35 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jurucakap itu berkata, jenazah mangsa diterbangkan dari Pekanbaru, kira-kira jam 6.30 petang tadi, sebelum menaiki pesawat seterusnya dari Jakarta, Indonesia, ke Malaysia pada awal pagi esok.

“Jenazah Mohammad Shaiful Bukhari kemudian akan dibawa pulang ke Sabah menggunakan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Subang, esok.

“Jenazah Ameer Hakimi pula akan dibawa pulang menggunakan jalan darat oleh keluarga arwah selepas tiba di Malaysia,” katanya.