Jemaah Patuhi SOP Solat Sunat Aidiladha

KOTA KINABALU: Solat sunat Hari Raya Aidiladha tahun ini dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Dengan kehadiran 30 orang jemaah, pekarangan Masjid Negeri Sabah dilihat lenggang berbanding suasana solat hari raya sebelum pandemik Covid-19.

Solat sunat hari ini bermula pada pukul 7.40 pagi dan diketuai oleh Imam Besar Masjid Negeri, Imam Suhaidi Kuanting.

Semua jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan seperti mengamalkan penjarakan sosial serta memakai pelitup separuh muka.

Antara jemaah yang hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir. Shahelmey Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Ahmad Abdul Rahman.

Selepas solat sunat, jemaah turut mendengar khutbah yang disampaikan oleh Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar dengan tajuk ‘Pengorbanan Meraih Keredaan’.

Berdasarkan SOP Hari Raya Aidiladha, kerajaan negeri hanya membenarkan 1/3 daripada kapasiti ruang atau maksima 30 orang jemaah sahaja sempena solat sunat Aidiladha.

Malah, tiada sebarang aktiviti rumah terbuka, jamuan, kunjung mengunjung dan ziarah tanah perkuburan sempena Hari Raya Aidiladha kali ini.

Bagaimanapun, aktiviti perayaan Aidiladha di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan.