Jelani Hamdan: Matunggong Perlu Balai Bomba Dan Penyelamat

767
Keadaan rumah Mohigil dan Saftrezo yang musnah di Kampung Birau, Lokoton.
Keadaan rumah Mohigil dan Saftrezo yang musnah di Kampung Birau, Lokoton.

MATUNGGONG – Kawasan Matunggong memerlukan sebuah balai bomba bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat apabila berlaku bencana kebakaran, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Matunggong, Dato’ Jelani Hamdan.

Katanya, kemudahan balai bomba merupakan keperluan yang amat mendesak memandangkan balai bomba yang terdekat dari Pekan Matunggung terdapat di Pekan Kota Marudu iaitu sejauh 40 kilometer dan Kudat sejauh 39 kilometer.

“Banyak kes kebakaran yang berlaku dalam kawasan DUN Matunggong, pasukan bomba tidak sempat untuk menyelamatkan harta benda dan memadamkan kebakaran disebabkan jarak yang agak jauh.

“Kebanyakan kes kebakaran yang berlaku ialah pasukan bomba hanya tiba di tempat kejadian setelah rumah telah musnah sepenuhnya dan hangus ditelan api”, kata Jelani yang menggangap dirinya sebagai Adun ‘Rakan BN’ (BN-friendly).

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian kebakaran berasingan yang berlaku pada Isnin dan Rabu lalu di Kampung Kebangaan dan Kampung Birau Lokoton yang memusnah tiga buah rumah.

Kebakaran itu memusnahkan keseluruhan struktur rumah terbabit menyebabkan kesemua mangsa tinggal sehelai sepinggang.

Kejadian pertama berlaku pada Isnin lalu (26 September) di Kampung Kabangaan telah memusnahkan keseluruhan rumah milik pasangan Anas Indod, 50 tahun dan Henny Binti Matgee, 35 tahun.

Dua orang anak Anas Indo sebak di hadapan rumah mereka musnah dijilat api di Kampung Kebangaan.
Dua orang anak Anas Indod sebak di hadapan rumah mereka musnah dijilat api di Kampung Kebangaan.

Beliau bersama lima orang anaknya yang berumur 8 hingga 16 tahun kini menumpang di balairaya kampung berkenaan.

Sementara kebakaran kedua berlaku di Kampung Birau Lokoton pada 28 September memusnahkan 2 buah rumah milik Mohigil Mohigan dan anaknya Softezo Mohigil.

Jelani yang juga Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA) berkata, dalam kejadian di Kampung Birau yang berlaku pada jam 11 pagi 28 September 2016, pasukan Bomba dari Kudat hanya tiba di tempat kejadian sekitar jam 2 petang.

Menurutnya, jarak yang jauh diantara kedua-dua balai bomba yang ada di Kota Marudu dan Kudat dengan Matunggong menyebabkan banyak harga benda yang tidak dapat diselamatkan apabila berlaku kebakaran.

“Keadaan jalan raya yang menghubungkan kampung-kampung dalam kawasan Matunggong yang agak teruk turut menyebabkan pasukan bomba mengambil masa yang lama untuk sampai ke tempat kejadian.

“Setekat ini sudah 8 kes kebakaran yang serupa berlaku dan pasukan bomba tidak dapat menyelamatkan harta benda kerana hanya tiba setelah rumah musnah dan hangus sepenuhnya”, tegasnya.

Jelani berkata, beliau telah dua kali merayu dan menyuarakan keperluan  mendesak penyegeraan  dan pengujudan balai bomba di Matunggong semasa persidangan DUN Sabah yang lalu.

Katanya, untuk keperluan segera beliau juga telah mencadangkan dalam sidang DUN untuk penubuhan pasukan-pasukan bomba sukarela dan ianya mendapat sokongan daripada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

karan1

“Saya juga menulis surat dan mengemukakan rayuan keperluan penduduk Matunggong itu kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rahman Dahlan pada masa itu, tetapi tidak ada jawapan langsung yang saya terima”, tegasnya.

Jelani berkata, bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa kebakaran di Kg. Kebangaan dan Kg Birau Lokotan, pihak SAMORA  dan Momogun Rungus Youth Community (MRYC) akan melancarkan Tabung Khas untuk membantu 3 keluarga terbabit.

Beliau berkata, satu jawatankuasa bersama  yang diketuai oleh Naib Presiden SAMORA,Encik Joseph Abis Mongingkal akan mengerakkan jawatankuasa itu dengan serta merta.

Sementara itu, menurut Joseph Abis, ketiga-tiga keluarga itu amat memerlukan bantuan daripada orang ramai berupa peralatan pembinaan rumah, pakaian, alat-alat persekolahan dan lain-lain.

Kepada ahli-ahli SAMORA dan orang ramai yang berhasrat membantu mangsa-mangsa kebakaran itu, bolehlah menyumbang dengan berhubung terus kepada saya di nombor 019-899 2880  dan En. Endry Gimpou -019-530 4257, tambahnya.