Jelajah Ramadan Warisan Kinabatangan Dekati Masyarakat Umum

264

KINABATANGAN: Meraikan insan-insan yang kurang bernasib baik dan anggota perkhidmatan awam yang bertugas sempena bulan Ramadan sentiasa menjadi keutamaan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sempena Ramadan kali ini Wira Warisan Kinabatangan mengambil inisiatif mengadakan Jelajah Ramadan ke beberapa lokasi bagi menghulurkan sumbangan kepada pesakit serta warga kerja Hospital Kinabatangan, Ibu Pejabat Polis Kinabatangan dan pengguna jalan raya.

Usaha ini juga dilihat membantu merapatkan lagi hubungan Warisan dengan warga kerja hospital dan polis Kinabatangan serta orang awam sekitar Kinabatangan.

MOHD ALMIZAN

Ketua Wira Warisan Kinabatangan Mohd Hamizan Ahmad berkata, program ini julung-julung kali diadakan selepas pemilihan jawatankuasa baharu di peringkat bahagian.

Jawatankuasa Warisan bahagian Kinabatangan baharu dianggotai oleh anak anak muda Kinabatangan yang menyaksikan gabungan ahli jawatankuasa lama dan baru.

“Kami melihat program sebegini dapat memupuk semangat muhibah antara masyarakat yang berbilang kaum di negeri ini.

“Melalui program ini, kami mengagihkan sumbangan bubuk lambuk, kurma serta kuih-muih untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Kami turut memberi sumbangan yang sama kepada pesakit yang berada di wad-wad yang ada di hospital berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.

ISMAIL AYOB

Sementara itu, Mohd Ismail Haji Ayob, Timbalan Ketua Wira Negeri merangkap Ketua Bahagian Warisan Kinabatangan berkata, program yang melibatkan tiga sayap parti iaitu Wira, Wanita dan Wirawati itu akan diadakan secara berterusan bagi menziarahi dan mengetahui permasalahan serta keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, melalui program jelajah ramadan itu, mereka berpeluang menziarahi pesakit di Hospital Kinabatangan dan menziarahi seorang pesakit kanak-kanak di Kampung Batu Putih.

“Melalui ziarah ini, Warisan Kinabatangan akan menyediakan laporan berkaitan sumbangan dan peralatan diperlukan kepada kementerian berkaitan.

“Program ini bukan setakat hari ini, kita mahu ia berterusan kerana program sebegini penting dalam mengenalpasti mana-mana pihak yang memerlukan.

FAUZIAH OMARMAYA

“Sebagai mata dan telinga kerajaan, penting untuk kita mengetahui permasalahan dihadapi masyarakat bukan hanya berkaitan kesihatan tetapi juga diperingkat kampung.

“Ia bagi membolehkan kita memberi saranan dan pertimbangan kepada pihak berkenaan untuk turun padang membantu rakyat di Kinabatangan ini,” ujarnya.

Ketua Wirawati Kinabatangan Fauziah Omarmaya melahirkan rasa bersyukur kepada Allah kerana bulan Ramadan adalah bulan dimana masyarakat Islam dapat berkumpul beramai-ramai dalam melakukan ibadah tanpa sebarang masalah.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua Wirawati Bahagian Kinabatangan kerana dapat menjayakan program itu.

“Sokongan ditunjukkan membolehkan ahli-ahli parti bersama dengan kepimpinan Warisan peringkat bahagian dapat membantu golongan yang memerlukan yang akan membantu meningkatkan amalan kita semua,” jelasnya.

Wakil Pengarah Hospital Kinabatangan Asif Ahmad turut melahirkan penghargaan terhadap Warisan kerana sudi berkunjung ke hospital ini. Diharap tradisi kunjungan sebegini dikekalkan bukan sahaja semasa Ramadan tetapi juga pada bulan-bulan lain.

Turut hadir menjayakan program itu adalah Ketua Wanita Warisan Kinabatangan Rose Ardi. – Sumbangan Ezall Rohaizad