Jelajah Presiden Warisan Kini Berada Di Pedalaman Bawah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SIPITANG: Siri jelajah Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal kini diteruskan ke kawasan pedalaman bawah Sabah.

Memasuki hari kesembilan berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, Mohd Shafie sudah menjelajah lebih separuh daerah di Sabah untuk berkempen bersama calon-calon Warisan Plus.

Siri jelajah ini bermula di kubu Warisan di Semporna sebelum bergerak ke Tawau dan Kunak.

Berpegang kepada slogan ‘Unity’ atau perpaduan, jelajah Presiden Warisan itu diteruskan ke kawasan Utara Sabah seperti Pitas, Kota Marudu dan Kudat.

Beliau seterusnya berjumpa rakyat di Kota Belud, Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan, Papar, Membakut dan Kuala Penyu.

Hari ini jelajah Presiden Warisan ini memasuki kawasan pedalaman bawah Beaufort, Sipitang dan Tenom.

Dalam ucapannya sebelum ini, Mohd Shafie percaya sokongan rakyat terhadap Warisan semakin bertambah namun, itu bukan alasan untuk mudah berpuas hati.

Menurutnya, mereka akan kerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Warisan untuk kembali memerintah di Sabah.