Jeffrey Seperti Miliki Dua Personaliti Berbeza Yang Sentiasa Bercanggah

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidatiri Tanah Airku (Star), Dr. Jeffrey Kitingan seolah-olah menghidap masalah gangguan identiti iaitu mempunyai dua personaliti berbeza yang bercanggah antara satu sama lain.

Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, dua personaliti berbeza itu menyebabkan Jeffrey sentiasa mengeluarkan kenyataan yang bercanggah.

“Saya rasa Jeffrey mempunyai sindrom ‘Dr. Jekyll and Mr. Hyde’. Sekejap cakap ini, sekejap lagi cakap lain. Beliau sentiasa bercanggah dengan diri sendiri.

“Hujung minggu lalu, beliau menyatakan kerisauan bahawa cadangan mencalonkan Shafie sebagai cubaan menghalang Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun dalam masa sama Jeffrey tidak menyokong Anwar.

“Lupakah Jeffrey apabila Langkah Sheraton dilakukan, beliau telah menyatakan sokongan kepada Muhyiddin berbanding Anwar?,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Jo-Anna, pendirian bercanggah Jeffrey itu bukanlah baharu, justeru beliau mengingatkan Ahli Parlimen Keningau itu tentang percanggahan kenyataannya sebelum ini.

“Lupakah Jeffrey bahawa PSS (Pas Sementara Sabah) yang dibantahnya sebelum ini diumumkan sendiri oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin? Tetapi sekarang Muhyiddin adalah ketuanya.

“Mari ingat balik lebih banyak. Lupakah Jeffrey pada Oktober 2018, beliau dengan bangganya mengumumkan IMM13 sudah tidak relevan.

“Lupakah beliau pada Julai 2018 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, beliau mengingatkan Sabahan IMM13 telah disalah guna untuk memberikan Kad Pengenalan dan MyKad kepada pendatang haram.

“Tetapi hari ini beliau mengatakan itu langkah terbaik mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Adakah Jeffrey juga lupa semasa pemerintahan Tan Sri Musa Aman beliau menentang UMNO dan Musa. Tetapi pada Mei 2018 beliau menyatakan sokongan kepada Musa, yanh menjadikannya Timbalan Ketua Menteri paling singkat,” kata Jo-Anna.

Sehubungan itu, Jo-Anna berkata, Sabahan bukannya buta untuk tidak menyedari kenyataan tidak konsisten Jeffrey, beliau yang sebenarnya menghidap amnesia.

“Jika Jeffrey sangat prihatin dengan cubaan menggagalkan Anwar sebagai Perdana Menteri, dia sepatutnya menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan menyokong Anwar atau adakah ini persediaa untuk ‘lompatan katak’ selepas ini?,” katanya.