Jeffrey Pulih COVID-19, Dibenarkan Pulang

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dibenarkan pulang setelah sembuh daripada jangkitan Covid-19, petang tadi.

Menteri Pertanian dan Perikanan ini menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) sejak 4 Jan lalu setelah disahkan positif Covid-19.

Turut discaj dari HQE adalah isterinya, Datin Seri Cecilia Kitingan. Kedua-dua mereka discaj dan meninggalkan pekarangan hospital pada 1 petang tadi.

Jeffrey turut melahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan terutama Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi, Pengarah HQE Dr William Gotulis, Ketua Unit Penjangkit Berjangkit Dr Lee Heng Gee dan kakitangannya Dr Rachel serta seluruh kakitangan hospital yang menjaga mereka dengan baik sepanjang tempoh dua minggu berada di hospital.

Beliau turut berterima kasih kepada semua sahabat, keluarga dan orang ramai yang mendoakan kesembuhannya.

“Apa yang penting, saya bersyukur atas usaha gigih petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa mengira penat dan lelah, berkorban masa dan tenaga bagi memerangi Covid-19 ini,” jelasnya.