Jeffrey Diminta Kaji Dulu Fakta Sebelum Buat Kenyataan

Gambar hiasan.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dinasihatkan supaya mengumpul fakta terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa gesaan menyeru pihak berkuasa menjalankan siasatan dalam aktiviti pembalakan di Sabah.

Timbalan Presiden TAS, Norman Wong berkata, kenyataan beliau yang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan hanya memburukkan keseluruhan industri pembalakan di Sabah termasuk yang dijalankan mengikut undang-undang.

NORMAN WONG

“Lebih membimbangkan ialah menggambarkan keseluruhan industri perhutanan dan pembalakan sebagai tidak baik, kerajaan telah berusaha menghentikan pembalakan haram dan itu memang patut.

“Bagaimanapun memanfaatkan sumber kayu yang mampan adalah respon kepada keperluan ekonomi Sabah yang mapan serta perubahan persoalan lebih besar iaitu perubahan iklim.

“Untuk membuat pandangan bahawa semua pembalakan adalah haram, tidak mampan dan perlu dihentikan amat tidak tepat dan memesongkan fakta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Jeffrey seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan yang menggesa SPRM melakukan siasatan terhadap aktiviti pembalakan di Kalabakan dan Keningau kerana didakwa wujud perbuatan rasuah.

Kenyataannya itu adalah susulan kepada gambar lori balak yang terbalik dan video puluhan lori muatan balak di Jalan Sepulut – Kalabakan yang tular baru-baru ini.

Mengulas tentang penularan perkara itu, Norman berkata, pihaknya memuji Jabatan Perhutanan Sabah dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan semua undang-undang untuk membawa keluar balak dipatuhi pihak syarikat terlibat.

“Hasil pemerhatian mendapati terdapat 56 konvoi muatan balak atau kira-kira 2,000 kubik meter keseluruhannya dan telah menepati peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Daripada segi skala dan perbandingan jumlah berkenaan bersamaan keperluan bulanan sebuah kilang papan bersaiz sederhana, bukannya jumlah luar biasa yang diangkut sekali gus pada satu masa,” katanya.

Menurut beliau, pemerhatian rapi terhadap gambar yang tersebar mendapati balak terlibat telah dipotong dan ditanda yang bermaksud proses ditetapkan telah ditepati.

“Proses ini dipantau rapi oleh Jabatan Perhutanan yang ditugaskan untuk memastikan setiap balak dikeluarkan di negeri ini mengikut undang-undang dan dari sumber mampan.

“Balak-balak di atas lori juga ditutup dengan baik mengikut peraturan JPJ,” tambahnya.

NOTE: It was initially reported that Jeffrey was the ADUN for Nabawan. The error is regretted.