Jeffrey Dicabar Hantar Pulang Segera Golongan Stateless Di Sabah

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman mencabar Datuk Dr. Jeffrey Kitingan untuk menghantar pulang semua warga asing tanpa negara di Sabah secepat mungkin seperti yang diperjuangkannya selama ini semasa masih berada di blok pembangkang.

Mohd. Azis berkata, jika sebelum ini Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) itu lantang mengkritik dan menuduh Kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) mesra dengan golongan tersebut, kini tiba masanya untuk Jeffrey pula melaksanakan tanggungjawab itu.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini telah menjelaskan kekangan utama adalah negara penerima enggan menerima golongan berkenaan tetapi Jeffrey adalah pemimpin yang paling lantang mengkritik, justeru beliau perlu membuktikan mampu melakukannya.

Tegasnya, Jeffrey boleh bekerjasama erat dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang baharu, Jonathan Yasin untuk memastikan kerajaan dapat menghantar pulangan golongan berkenaan walau apa cara sekalipun kerana itulah perjuangannya.

“Itu yang saya nyatakan Jeffrey ini banyak retorik sahaja, forum apa lagi dia sudah menjadi kerajaan laksanakan mereka cakap hantar, maka saya mahu tengoklah saya mahu tengok kepada Jeffrey kepada Jonathan yang gantikan saya di KDN saya mahu tengok bagaimana mudah menghantar orang-orang ini.

“Ya saya mungkin dianggap gagal kerana tidak menghantar orang-orang ini tetapi saya jemputlah saya cabar Jonathan dan Jeffrey hantar orang-orang ini, lebih mudah bercakap daripada melaksanakannya, tidak mudah untuk kita hantar ini perlu diingat kedua-dua pihak yang menerima perlu bersetuju, kalau yang menerima tidka bersetuju bagaimana kit amahu hantar, inilah masalah kita dulu,” tegas beliau dalam sidang akhbar malam tadi.

Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang cadangan Jeffrey baru-baru ini yang mahu mengadakan forum untuk mengatasi masalah kebanjiran warga asing di Sabah.

Mohd. Azis menegaskan, dalam soal menangani pendatang asing tanpa izin (PATI), langkah kerajaan sejak dulu lagi tetap sama iaitu memburu golongan tersebut, mendakwa dan menghantar mereka pulang serta-merta.

Bagaimanapun katanya, apa yang menjadi masalah adalah golongan masyarakat tanpa negara yang merupakan generasi kedua dan ketiga daripada kumpulan pelarian yang datang ke Sabah sejak tahun 1960-an.

Katanya, kumpulan itulah yang menjadi masalah kerana negara penerima seperti Filipina enggan menerima mereka sehinggalah Kerajaan Warisan membuat keputusan meneruskan pengenalan Pas Residen Sabah yang dicadangkan Barisan Nasional (BN) tetapi menggunakan nama baharu iaitu Pas Sementara Sabah (PSS).

Jelasnya, PSS bagaimanapun telah tidak diteruskan kerana penentangan daripada pemimpin-pemimpin seperti Jeffrey yang mahu agar masyarakat tanpa negara itu dihantar pulang terus ke negara asal mereka bukannya diberikan PSS.

“Contoh sebagaimana saya sebutkan tadi Jeffrey cakap kenapa orang-orang ini tidak ditangkap, bila ditangkap simpan dalam depot tahanan bila dalam depot kita menunggu persetujuan negara sebelah untuk menerima kerana untuk kita hantar perlu diberikan dokumen kebenaran untuk ktia hantar ke sebelah.

“Tetapi kalau negara ini tidak ingin menerima mereka bagaimana kita hantar, maka akhirnya orang-orang ini terpaksa ditempatkan dalam depot tahanan yang mana dalam depot tahanan itu pihak Imigresen terpaksa menanggung jumlah kos yang cukup tinggi untuk memberikan orang-orang ini makan, kalau dia sakit kena hantar hospital,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azis berkata, dalam isu PSS, ini juga masanya Jeffrey sebagai pemimpin Kerajaan Persekutuan meminta untuk ditaklimatkan siapa sebenarnya yang mencadangkan pas berkenaan kalau bukan kerajaan BN sebelum ini.

“Alhamdulillah sahabat saya Jonatahan jadi timbalan menteri, itu jawatan saya dulu dan banyak tuduhan kita dilemparkan dulu kononnya Kerajaan Warisan buat dokumen kerajaan Warisan menggalakkan PATI kerajaan Warisan mesra kepada PATI ini adalah gambaran yang mereka telah lemparkan sebelum ini.

“Jadi dengan jawatan yang mereka telah ada Jonathan saya telah sebut bahawa saya yakin pegawai-pegawai kementerian juga telah memberi taklimat secara terperinci dan saya memberi nasihat kepada beliau dan Jeffrey selaku timbalan menteri datang ke pejabat KDN minta ditaklimatkan tentang bagaimana kita dituduh sebelum ini,” katanya.