Jawatan Menteri Kesihatan Sabah Tidak Perlu – Masidi

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Tanda tanya mengenai ketiadaan Kementerian Kesihatan di Sabah ketika negeri ini berdepan pandemik Covid-19 akhirnya dijelaskan secara menyerluruh.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam sidang media hari ini menjelaskan alasan kerajaan baharu dibawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak melantik Menteri Kesihatan Negeri.

Beliau berkata, kewujudan Kementerian Kesihatan Sabah sebelum ini memperlihatkan kementerian itu tiada kuasa undang-undang untuk membuat dasar. Kementerian itu tidak boleh menetapkan undang-undang, peraturan dan penguatkuasaan di Sabah kerana ia bidang kuasa persekutuan.

Atas sebab itu, kerajaan sekarang bertindak lebih praktikal dengan memutuskan hal ehwal kesihatan di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

Katanya, fungsi Kementerian Kesihatan yang dahulu, kini diletakkan di bawah Menteri Pembangunan Masyarakat & Kesejahteraan Rakyat, Shahelmy Yahya. Hanya menteri kesihatan yang tiada, tugas-tugas berkaitan kesihatan masih dijalankan.

“Kalau tidak silap bekas Menteri Kesihatan yang dulu sendiri mengakui pada Februari bahawa semua urusan Covid-19 dilaksana oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) di bawah Command Centre kerana dia tiada kuasa.

“Bukan saya mahu bertengkar pasal itu. Saya mahu bagi rasional kenapa tiada jawatan menteri kesihatan. Kita masih meneruskan dan melihat kepentingan kesihatan.

“Kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS). Dalam bahasa Sabah, sudah ampai-ampai dia bantu kita. Atas sebab itu, kita gunakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid Negeri yang dipengerusikan oleh SKN dan timbalannya Dr Christina,” katanya semasa sidang media mengenai perkembangan Covid-19 Sabah, di sini hari ini.

Masidi berkata, pendekatan yang diambil sekarang adalah, kerajaan bekerjasama dengan agensi pusat yang mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksana penguatkuasaan bagi menangani masalah Covid-19 ini.

“Saya memberi jaminan, kita tahu apa yang sedang berlaku setiap hari. Ada taklimat Dr Christina dan Ketua Pengarah Kesihatan dalam mesyuarat MKN. Kita ada fakta dan taklimat hari-hari. Percayalah dengan saya, kita tahu apa yang sedang kita buat. Semua fakta dan maklumat yang perlu, kita terima seetiap hari,” ujarnya.

Tambahnya, setiap hari ada persidangan video untuk mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan akan memberi taklumat kes termasuk kes di Sabah.

Masidi berkata, selaku wakil kerajaan negeri, beliau juga duduk dalam mesyuarat berkenaan dan terlibat dalam perbincangan yang dilakukan melalui persidangan video itu.

Kemudian, apa-apa maklumat dalam MKN akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid Negeri Sabah yang dipengerusikan oleh SKN, Datuk Seri Panglima Safar Untong dan timbalannya, Datuk Dr Christina Rundi, yang merupakan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah.