Jaujan: Tetap Bangunkan Kawasan Pembangkang, Tidak Pilih Bulu

4918
Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, pengangkutan awam di daerah-daerah terbabit harus menjadi keutamaan dalam usaha menambah baik prasarana semasa.

SIPITANG: Kerajaan tetap komited dalam menambahbaik prasarana pembangunan di daerah yang ‘dikemudikan’ oleh pihak pembangkang di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata,ia bukanlah menjadi masalah memandangkan kepentingan rakyat haruslah diutamakan dalam membangunkan sesuatu daerah itu.

“Kalau niat sama untuk rakyat ia tidak jadi masalah walaupun terdiri daripada parti, idealogi dan fahaman politik berlainan.

“Kalau kita menjurus untuk kepentingan rakyat… pihak kerajaan atau pembangkang perlu bersama membangunkan daerah ini.

“Sekiranya daerah ini dijaga baik, semua rakyat termasuk wakil rakyatnya di sini boleh senang hati,” katanya ketika dalam sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Ke Majlis Daerah Beaufort dan Sipitang, pada Jumaat.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum ke -14 (PRU-14) dahulu, Beaufort yang mempunyai satu kerusi parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi oleh pembangkang manakala di Sipitang pula, dua daripada tiga kerusi termasuk parlimen turut dimenangi oleh pembangkang.

Mengulas lanjut, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, peruntukan parlimen yang disalurkan juga bukan untuk wakil rakyat sebaliknya ia adalah untuk disalurkan kepada rakyat.

Sementara itu, beliau menambah pengangkutan awam di daerah-daerah terbabit harus menjadi perhatian dalam usaha menambahbaik prasarana semasa.

“Pengangkutan awam sebagai contohnya, kini dilihat mempunyai keperluan untuk diwujudkan dan kerajaan tidak mempunyai masalah untuk mengambil perhatian perkara ini.

“Terminal bas pula sekiranya terdesak, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai sebidang tanah dan wajarlah untuk dibangunkan,” katanya. – Ruzaini Zulkepli, Astro Awani

BERITA LANJUT: –

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-negeri-sabah-tidak-pilih-bulu-181588