Jaujan selar tindakan pelancong berkelakuan tidak senonoh di Semporna

JAUJAN (kanan) menyampaikan anugerah tokoh kepada Bianus pada majlis tersebut sambil disaksikan Aidi (kiri)

Oleh: MIKEL RAGANG
SEMPORNA: Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong menyelar tindakan pelancong yang berkelakuan tidak senonoh di tempat awam khususnya destinasi pelancongan di Semporna.

Katanya, rakaman terhadap wanita itu yang ditularkan menerusi media sosial baru-baru ini sekaligus mengkehendaki satu tindakan segera perlu diambil untuk mengatasi perkara itu.

“Saya sekali lagi ingin mengatakan papan tanda perlu diletakkan dikawasan-kawasan seumpamanya sebagai peringatan kepada para pelancong agar sentiasa berkelakuan baik ketika berada di sini.

“Keadaan seumpamanya pernah berlaku di sebuah pulau di sini beberapa tahun lalu…pelancong China membuka baju, kes sama turut berlaku di Gunung Kinabalu dan juga tarian di atas pagar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

“Ini semua bertentangan dengan etika kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Semporna Tahun 1440H dan Penyampaian Surat Perlantikan Pemimpin-Pemimpin Adat Daerah Semporna pada Sabtu.

Beliau berharap perkara itu tidak akan berulang di negeri ini dan satu peraturan perlu diwujudkan bagi mengelakkan perkara itu daripada berulang.  Katanya, walaupun teknologi media sosial semakin maju, para pengguna haruslah bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan perkara seumpamanya.

“Benda negatif orang tularkan tetapi positif tidak dikongsikan…inilah sikap yang perlu ada diubah.

“Saya berharap sabagai rakyat Malaysia yang ada pendidikan dan bertamadun, benda yang tidak baik bukanlah ingin ditutup tetapi janganlah dihebohkan sangat.
“Kita perbaiki bersama perkara itu dan itulah harapan saya dalam kementerian ini,” katanya.

Dalam pada itu, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ketika ditanya hasrat Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman yang ingin menubuhkan parti sendiri.

Beliau berkata, hasrat itu sangat dialu-alukan di sini memandangkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.

“Apa yang penting penubuhan itu adalah berdasarkan akta undang-undang yang sedia ada.

“Pada pilihan raya umum lalu, banyak juga parti baharu diwujudkan di Sabah…tetapi sebaliknya rakyat memilih kepada pemimpin yang berwibawa dan bertanggungjawab memimpin negeri ini,” jelasnya.

Turut hadir ialah Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bugaya Manis Muka Mohd Dara, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah dan Pegawai Daerah Semporna Bianus Kontong