Jaujan Sambakong Yakin Amrullah Mampu Tadbir MPT Dengan Baik

373
Jaujan (dua kanan) menyerahkan surat lantikan Presiden Majlis Perbandaran Tawau kepada Amrullah (dua kiri).

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong yakin perlantikan Datuk Amrullah Kamal sebagai Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang baharu membolehkan pembangunan Bandar Tawau lebih maju ke hadapan.

Beliau berkata, perlantikan bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang merupakan anak jati Tawau itu juga telah mendapat persetujuan Ketua Menteri.

Jaujan, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ini berkata, perlantikan Amrullah adalah bagi menggantikan Alijus Sipil yang baru menamatkan perkhidmatannya baru-baru ini.

“Saya yakin sebagai seorang yang berpengalaman dan pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Amrullah mampu mentadbir Tawau dengan baik terutama dalam menyelesaikan isu berkaitan bekalan air yang perlu ditangani.

“Selain itu, isu menaiktaraf jalan raya dan lapangan terbang juga antara isu yang perlu diberi perhatian selaku Presiden MPT,” katanya ketika Sidang Media sempena Perlantikan Presiden mpt baharu, di Wisma Innoprise.

Sementara itu, Amrullah, 58, yang sudah berkhidmat sebagai anggota perkhidmatan awam selama 34 tahun berkata, perlantikan itu memberi peluang kepadanya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat di daerah Tawau.

Selaku anak jati yang dilahirkan dan dibesarkan di Tawau, beliau menghargai kepercayaan diberikan Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri itu.

“Saya merasa gembira diberi tanggungjawab ini kerana sebelum ini saya pernah bertugas di Tawau sebagai jurutera daerah dan Pegawai JKR Tawau,” ujarnya.

Menurutnya, beliau akan memberi fokus kepada usaha membangunkan Tawau agar ia menjadi bandar membangun berikutan kedudukannya yang berada hampir dengan sempadan Kalimantan.

“Jika rancangan Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan, ia satu petanda baik untuk Sabah khususnya Tawau yang berjiran dengan Kalimantan.

“Perancangan memperluaskan Lapangan Terbang Tawau perlu dilakukan sebagai langkah awal persediaan Tawau menerima kemasukan lebih ramai pelancong sekiranya Kalimantan menjadi ibu negara Indonesia,” katanya.

Amrullah berkata, sektor pelancongan berasaskan perubatan dan pendidikan di Tawau juga perlu dibangunkan agar pelancong Indonesia boleh mendapatkan khidmat perubatan di Tawau tanpa perlu ke Singapura.

Katanya, beliau juga akan memastikan masalah infrastruktur seperti bekalan elektrik, air serta masalah banjir dan sistem pembentungan di Tawau ditangani dengan baik.

Beliau juga akan memastikan pelabur memilih Tawau sebagai kawasan berpotensi untuk melakukan pelaburan.