Jaujan: Perancangan Pembangunan Perlu Berkonsepkan Rendah Karbon

32

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Konsep bandar rendah karbon tidak boleh lagi diabaikan dalam setiap projek pembangunan yang dirancang di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata, konsep bandar rendah karbon itu perlu dijadikan teras pembangunan untuk memastikan kualiti alam sekitar terjaga.

“Dewasa ini, konsep seperti bandar rendah karbon dan subjek perubahan iklim menjadi popular dan diberi perhatian dalam pembangunan yang dirancang.

JAUJAN SAMBAKONG

“Ini adalah penting untuk menerapkan pembangunan yang lestari dan mampan demi kesejahteraan rakyat umumnya dan mengekalkan kualiti alam sekitar kita,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata demikian semasa merasmikan acara larian Planners Run 2019-Run For Green sempena sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia 2019, hari ini.

Acara larian itu bertujuan memupuk amalan menjaga kehijauan dan keindahan alam sekitar kepada masyarakat negeri ini.

Setiap peserta yang menyertai larian akan diberikan satu anak pokok untuk ditanam demi kepentingan generasi akan datang.

Jaujan berkata, acara larian seperti itu perlu selalu diadakan serta dikembangkan kepada program-program lain agar alam sekitar Sabah kekal terpelihara.

“Saya dimaklumkan setiap peserta yang berjaya menghabiskan larian pada hari ini mendapat anak pokok setiap orang.

“Saya memuji usaha ini untuk menggalakkan lebih banyak lagi penanaman pokok dan menyokong budaya kehijauan,” katanya.

Sementara itu, program larian sejauh lima kilometer itu mendapat sambutan apabila disertai 700 peserta.

Bagi kategori lelaki terbuka, tempat pertama dimenangi pelari tempatan, Ahmad Tahir, 49, yang menjelaskan larian tersebut menjadi latihan untuk mempersiapkan dirinya bagi acara Ironman Malaysia yang dijalankan pada 26 Oktober nanti.

Bagi kategori perempuan terbuka, tempat pertama dimenangi pelari Britanny Isabelle, 17, atlet yang akan mewakili Sabah dalam Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.