Jaujan Harap Peruntukan Prasarana, Pendidikan & Kesihatan Dipertingkat

43

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong meletakkan harapan tinggi agar Belanjawan 2020 akan memberikan peruntukan lebih besar dalam bidang pendidikan, kemudahan prasarana dan kesihatan di Sabah.

Beliau, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ini berkata, bidang pendidikan, prasarana jalan raya, bekalan air dan kemudahan kesihatan merupakan keperluan asas yang diperlukan rakyat termasuk di Sabah.

“Secara peribadi, saya lebih menjurus kepada kemudahan asas kerana sekiranya semua infrastruktur ini lengkap, rakyat boleh menjalani kehidupan dengan baik.

“Bagaimanapun, kita berharap belanjawan ini turut memberi tumpuan kepada sektor lain di Sabah.

“Ini bagi memastikan pembangunan serta ekonomi negeri terus dipertingkatkan,” katanya ketika ditanya mengenai harapan dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan Perdana Menteri pada esok (Jumaat).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo, di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Jaujan menyatakan kementeriannya dalam proses mewartakan kawasan setinggan sebagai perkampungan.

“Perkara ini dalam perhatian kita kerana ada yang sudah tinggal di kawasan perkampungan ini sejak sebelum merdeka. Isu ini sering menjadi rungutan rakyat,” jelasnya.

Katanya, terdapat kawasan setinggan di beberapa daerah yang sedang dikenalpasti untuk diwartakan.

Untuk itu, kementerian bersama Jabatan Tanah dan Ukur akan melakukan pemerhatian mengenai keperluan mewartakan perkampungan setinggan berkenaan.