Jasad Stephen, Bekas MP Sandakan, Dikebumi Di Perkuburan Kristian

SANDAKAN: Jasad Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, dikebumikan di Sandakan hari ini (Isnin April 1, 2019).

Anggota parlimen Sandakan sejak 2013, yang juga Pengerusi DAP Sabah itu disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian Sandakan kira-kira 1 tengah hari selepas upacara keagamaan diadakan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua di Sandakan pagi ini.

Antara yang hadir pada upacara keagamaan dan menyampaikan eulogi ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang, yang menyifatkan Wong sebagai mengabdikan hidupnya ke arah kemajuan Sabah dan Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung, yang juga Timbalan Pengerusi DAP Sabah, turut menyampaikan eulogi dan menyifatkan Wong sebagai pemimpin yang mempunyai visi serta misi dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

Beliau berkata perjuangan mendiang Wong dalam memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 tidak akan sia-sia.

Turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jaujan Sambakong, yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, Menteri Perusahaan Utama Teresa Kok Suh Sim, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong, Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Norazlinah Arif dan Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Jannie Lasimbang.

Wong meninggal dunia pada usia 64 tahun dipercayai akibat serangan jantung selepas menyertai aktiviti merentas hutan bersama sekumpulan pendaki gunung di Tambaig Adventure Park di Kota Kinabalu, pada 28 Mac.

Beliau meninggalkan balu, Datin Chong Mee Fook, tiga anak perempuan, seorang anak lelaki dan dua cucu.

BERITA BERKAITAN: –

Stephen Wong Meninggal Dunia

Sabah Kehilangan Pemimpin Berjiwa Rakyat – Shafie Apdal

Shafie Ketuai Pimpinan Negeri Beri Penghormatan Mendiang Stephen