Jasad Bekas Menteri Stephen Wong Disemadi Di Sandakan Isnin

STEPHEN WONG

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt akan disemadikan di kampung halamannya di Sandakan Isnin depan.

Jasad Ahli Parlimen Sandakan itu akan ditempatkan di pusat pengebumian Fook Lu Siew sepanjang hari ini untuk memberi ruang kepada kenalan mendiang memberikan penghormatan sebelum dipindahkan ke pusat pengebumian San Fook Hing, Sandakan.

Isnin depan, upacara pengebumian Kristian akan diadakan di Sekolah Rendah Tionghua, Sandakan pada pukul 8 pagi disusuli upacara penghormatan untuk orang awam pada 8.30 pagi.

Pemangku Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, jasad mendiang akan diarak di sepanjang bandar Sandakan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Batu 12.

“Kami mengalu-alukan semua pihak yang mahu memberikan penghormatan untuk hadir memakai baju putih.

FRANKIE POON

“Kami juga mengajak orang ramai untuk memberikan penghormatan kepada mendiang di sepanjang perarakan membawa jasad mendiang ke tanah perkuburan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Stephen, 64, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth 1 pagi semalam akibat masalah jantung selepas beliau dibawa ke hospital berkenaan kerana mengadu sakit dada.

Mendiang yang merupakan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah meninggalkan seorang balu, tiga anak perempuan, seorang anak lelaki dan dua cucu.

Stephen yang juga Pengerusi DAP Sabah telah menjadi wakil rakyat Sandakan selama dua penggal sejak 2013.

Sebagai pemimpin berjiwa rakyat, pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar kepada rakyat Sabah terutama kelantangannya dalam memperjuangkan hak-hak negeri ini serta kawasan Parlimen Sandakan.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Maximus Ongkili bersama para pemimpin parti itu turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang hari ini.

Pimpinan tertinggi DAP Pusat juga dijangka tiba dari Kuala Lumpur petang ini.

Dalam pada itu, Poon ketika ditanya tentang pilihan raya kecil yang akan berlangsung berkata, masih terlalu awal untuk memikirkannya kerana rakyat masih meratapi pemergian mendiang.

“Sudah tentu kami akan menghadapinya cuma ketika ini kita perlu memberikan penghormatan kepada mendiang dan memberi sokongan terhadap keluarganya,” katanya.

BERITA BERKAITAN: –

Sabah Kehilangan Pemimpin Berjiwa Rakyat – Shafie Apdal

Rakyat Sabah, Jangan Lupakan Stephen – Setiausaha Publisiti DAP

Stephen Wong Meninggal Dunia