Jasa Anggota PGA Bantu Mangsa Jadi Contoh PDRM

SANDAKAN: Jasa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkorban dalam kejadian bot karam di Sandakan pertengahan bulan ini perlu dicontohi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aspek menjaga kepentingan awam. 

Komander PGA Briged Sabah SAC Mancha Ata berkata tindakan Allahyarham Korporal Asman Ongkal, 40, yang menyelamatkan penumpang lain dalam kejadian itu mencerminkan amanah PDRM untuk sentiasa membantu masyarakat tidak kira dalam sebarang situasi.

“Inilah peranan setiap pegawai dan anggota polis yang harus membantu masyarakat dalam apa jua bencana atau masalah dalam masyarakat.

“Kami adalah polis. Kami memang berkhidmat untuk masyarakat sampai bila-bila dalam apa jua keadaan yang menimpa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA) Datuk Mastor Mohd Ariff terhadap balu Asman, Roslinah Sari di Pulau Tanjung Aru dekat sini hari ini.

Mancha berkata keluarga Asman akan mendapat bantuan, antaranya pencen terbitan, bantuan pengurusan jenazah, ex-gratia dan khairat kematian.

Roslinah, 39, ketika ditemui pemberita berkata beliau masih terkejut dengan kematian suaminya itu, namun berterima kasih atas bantuan yang disumbangkan oleh PDRM kepada dirinya dan keluarga.

“Saya tidak bekerja. Hanya suri rumah. Saya berterima kasih atas keprihatinan PDRM terhadap keluarga saya,” katanya yang mempunyai anak perempuan berumur 10 tahun dan anak lelaki berumur 16 tahun.

Allahyarham Asman menyertai PDRM pada Jun 2000 dan bertugas di Batalion 15 PGA Sandakan sejak Oktober 2004 sehingga kematiannya, pernah menerima penghargaan ketika insiden pencerobohan Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

Dalam kejadian bot karam kira-kira 6 pagi pada 13 Feb lepas, bot penumpang yang dinaiki 37 orang termasuk Asman karam selepas bertembung dengan sebuah bot kecil yang sedang ditunda sebuah kapal.

Asman hilang ketika menyelamatkan mangsa dan mayatnya ditemui kira-kira 1 kilometer dari lokasi kejadian pada petang keesokan harinya.

Jenazahnya selamat disemadikan di Perkuburan Islam Batu 11 dekat sini pada 15 Feb.