Jaringan Suspek Penyeludup Gading Ditahan Di Nunukan Disiasat

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Pihak berkuasa Indonesia akan melakukan siasatan penuh termasuk modus operandi penyeludupan empat gading gajah yang didakwa dibawa masuk dari Tawau ke Nunukan menerusi jalan laut, Isnin lalu.

Jurucakap Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau berkata, siasatan penuh perlu dilakukan untuk mengesan jaringan suspek dalam aktiviti penyeludupan itu.

“Pihak berkuasa Indonesia akan sentiasa melakukan pemantauan terhadap sebarang salah laku dan jenayah di sempadan termasuk membabitkan aktiviti penyeludupan.

“Berhubung kes penyeludupan gading gajah dari Tawau ke Nunukan, pihak berkuasa Indonesia akan melakukan siasatan terperinci mengenainya dan mempelajari jaringan suspek sama ada di Nunukan mahu pun di Sabah,” katanya ketika dihubungi Borneo Today hari ini.

KRI berkata, pembanterasan jenayah rentas sempadan ini memerlukan kerjasama kedua-dua pihak iaitu Indonesia dan Malaysia dalam mencegah perkara daripada terus berulang.

“Sebaik saja siasatan selesai dilakukan, pihak kami bersedia berkongsi maklumat kepada kerajaan negeri Sabah mengenainya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki warga Indonesia ditahan pihak berkuasa negara itu selepas terbabit dalam penyeludupan empat gading gajah dipercayai dibawa masuk dari Tawau, Sabah, di Pelabuhan Tunon Taka, Indonesia, Isnin lalu.

Menurut laporan media Merdeka.com, suspek dikenali sebagai Christans Mikhael, ditahan ketika melakukan pemeriksaan imbasan barang penumpang dari Tawau di pelabuhan berkenaan.

Menurut Kepala Balai Gakkum KLHK Wilayah Kalimantan, Subhan, ketika imbasan dilakukan, pihaknya menemukan bentuk yang mencurigakan berada di dalam sebuah beg sebelum menemui empat gading gajah berkenaan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 5 tahun dan denda Rp100 juta (kira-kira RM30,000).

Suspek ditahan di Polres Bulungan manakala empat gading gajah itu diserahkan di Balai Gakkum KLHK Wilayah Kalimantan di Samarinda, Kalimantan Timur.

Berdasarkan rekod, terdapat enam kematian gajah Borneo dicatatkan berlaku di Sabah sejak 25 September lalu termasuk membabitkan kehilangan gadingnya.

Namun hanya dua daripadanya berjaya ditemukan semula iaitu di Felda Umas membabitkan penemuan bangkai gajah dengan 70 kesan tembakan di Dumpas, Kalabakan.

BERITA BERKAITAN :-

Lelaki Ditahan Di Nunukan Seludup Gading Dari Tawau