Jari Tersepit Dalam Mesin Pengisar Ikan, Remaja Dikejarkan Ke Hospital

LAHAD DATU: Seorang remaja perempuan dikejarkan ke hospital selepas jari tangan kanannya tersepit di dalam mesin pengisar ikan ketika bekerja di sebuah kedai menjual mee tauhu di Perdana Square, di sini, petang tadi.

Pasukan bomba bertindak membawa mangsa berusia 17 tahun bersama mesin pengisar ikan ke Hospital Lahad Datu atas faktor keadaan mangsa, menggunakan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Usaha melepaskan jari tangan mangsa yang tersepit dilakukan bomba di Hospital Lahad Datu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.17 petang.

7 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikejarkan ke lokasi di sebuah premis perniagaan di Perdana Square, bandar Lahad Datu yang terletak 1 kilometer dari balai.