JaPen Sabah Terus Pergiat Kempen Kibar Jalur Gemilang

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Biarpun berdepan pandemik Covid-19, Jabatan Penerangan (JaPen) tetap terus mempergiat kempen Kibar Jalur Gemilang di setiap pelusuk negeri Sabah melalui Info on Wheel (IoW).

Pengarah JaPen Sabah Norzawiyah Bulka berkata, kempen ini penting dalam usaha menzahirkan semangat patriotik terhadap negara.

Atas sebab itu, JaPen Sabah melaksanakan kempen Kibar Jalur Gemilang melalui IoW di semua daerah, kampung, bandar dan kawasan pedalaman seluruh Sabah bagi menggalakkan rakyat mengibarkan jalur gemilang.

Beliau berkata, sejak pelancaran kempen itu pada 28 Julai lalu, usaha mengibarkan jalur gemilang di negeri ini agak kurang walaupun sudah hampir ke penghujung Ogos.

“Mungkin semua orang masih dalam suasana berhati-hati hingga menyebabkan sambutan Bulan Kebangsaan masih agak lenggang.

“Namun, dalam berdepan masalah Covid-19, kita tidak boleh lupa untuk menyatakan rasa kecintaan dan semangat patriotisme terhadap negara.

“Biarpun sambutan Bulan Kebangsaan ini tidak dapat dilakukan dalam skala besar namun, kita masih boleh mengibarkan jalur gemilang di rumah sendiri serta di premis-premis perniagaan dan pejabat,” katanya semasa Program Santai Merdeka Bersama Media 2020, di sini pada Jumaat.

Tambahnya, usaha mengibarkan jalur gemilang di rumah dan premis perniagaan cukup untuk menggambarkan rasa kecintaan terhadap negara.