JANS Pasang Pam Penggalak Atasi Masalah Air Di Kampung Mandahan

Oleh ILONA ANDREW
PAPAR: Penderitaan penduduk Kimanis selama ini yang hanya mampu melihat air menitis dari kepala paip disebabkan tekanan yang rendah akan berakhir tidak lama lagi selepas sistem bekalan air di Kampung Mandahan dinaik taraf.

Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Datuk Amarjit Singh berkata, November lalu, sekumpulan penduduk yang berdepan kekurangan bekalan air setiap hari telah pun menyuarakan masalah itu kepada JANS.

Berikutan itu katanya, JANS telah melakukan pemeriksaan di kawasan itu dan membuat keputusan untuk memasang rumah pam penggalak sebagai penyelesaian masalah bekalan saluran air ke kira-kira 30 hingga 40 buah rumah di kampung itu.

“Jabatan ini dengan kerjasama Pejabat Jabatan Air Papar telah melakukan pemeriksaan awal di Kampung Mandahin dan mendapati tekanan air rendah berpunca daripada pembangunan pesat di kawasan Papar dan Kimanis.

“Oleh kerana bekalan ke Kampung Mandahan di salurkan ke kawasan takungan Kokopon, maka dari situ kita buat keputusan untuk menaik taraf sistem saluran dengan memasang pam penggalak dengan kapasiti 44 kubik meter untuk menghantar air ke tangki simpanan,” katanya ketika ditemui Borneo Today di Kampung Mandahan hari ini.

Menurut Amarjit, pam penggalak itu akan dipasang dalam tempoh satu atau dua bulan lagi dan ketika ini, JANS sedang menyiapkan reka bentuk projek itu.

“Biasanya, memohon tanah untuk memasang rumah pam penggalak itu memakan masa, namun pegawai saya telah bercakap dengan ketua kampung dan dimaklumkan seorang penduduk telah menawarkan sebahagian tanahnya untuk digunakan.

“Kami amat berterima kasih kepada penduduk ini yang bersedia untuk membantu kerajaan,” katanya sambil memaklumkan keluasan tanah diperlukan ialah kira-kira 20 meter persegi.

Beliau berkata, kerja-kerja pemasangan mungkin boleh mengambil masa sehingga empat ke enam bulan, namun Amarjit berjanji masalah bekalan air di situ akan diselesaikan sepenuhnya menjelang akhir tahun.