JANS Ambil Kakitangan Baharu Di Loji Segaliud Dan Milau

3030

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah mengambil kakitangan baharu untuk menggantikan sebanyak 133 pekerja di Loji Segaliud, Sandakan dan Loji Milau, Kudat yang tidak bersetuju untuk diserapkan ke bawah JANS berikutan pengambilalihan kesemua loji di seluruh negeri oleh kerajaan.

Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony berkata, operasi di loji-loji berkenaan kembali normal, justeru bekalan air di kawasan terlibat juga tiada gangguan.

“Kita sudah bagi tawaran untuk bersama JANS tanpa ada pengurangan gaji malah mungkin berlaku kenaikan tetapi mereka tidak setuju.

“Maka kita akan ganti semua pekerja di loji itu, operasi loji berjalan seperti biasa tiada masalah,” jelasnya.

Semalam, kerajaan negeri melalui JANS telah mengambil alih kesemua 58 loji air di seluruh negeri daripada syarikat konsesi yang diberikan kontrak oleh kerajaan terdahulu sebagai langkah penjimatan.

Berikutan itu, kesemua 1,355 pekerja yang terlibat telah diberikan surat untuk terus bekerja dan diserapkan ke bawah JANS bagi mengelakkan mereka kehilangan pekerjaan.
Peter berkata, bagaimanapun, kesemua 94 kakitangan di Loji Segaliud dan 39 di Loji Milau tidak hadir semalam, justeru kerajaan akan mencari pengganti.

“Kita sudah cakap kalau contoh gaji RM700 atau RM1,200 kerajaan akan kekalkan atau naikkan tetapi mereka tidak setuju.

“Hanya dua loji ini terlibat kerana semua kakitangan di 56 loji yang lain tetap bekerja seperti biasa,” katanya.