Jannie Teruskan Perjuangan Selaku Pembangkang

KOTA KINABALU: Berjaya mengekalkan kerusi DUN Kapayan, memberi ruang kepada Jannie Lasimbang terus menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Walau kali ini, beliau berada di blok pembangkang, Jannie masih berpegang kepada prinsip sama untuk kekal bersih dan berakauntabiliti selaku wakil rakyat.

Katanya, beliau akan terus bekerja bagi melindungi rakyat daripada pemimpin yang tamak dan sanggup mencuri hak rakyat.

Beliau berjanji untuk terus bekerja keras dan memberi khidmat kepada rakyat Kapayan sehingga tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat berakhir.

Untuk itu, beliau menyarankan rakyat Kapayan untuk sentiasa mendekatinya bagi memberi maklum balas agar penambah baikan boleh dilakukan.

“Saya percaya perubahan di Kapayan boleh dilakukan sekiranya semua rakyat di sini bersepadu tanpa mengira bangsa, agama mahupun bahasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Jannie turut melahirkan penghargaan terhadap semua pihak yang terlibat dalam membantu mengekalkan kemenangannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan untuk kali kedua.