Jannie Nafi Lantikan Kontraktor Empangan Papar Telah Dibuat

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang menafikan dakwaan Yong Teck Lee bahawa kontrak bagi pembinaan Empangan Papar telah diberikan kepada sebuah syarikat dari China menerusi inisiatif kewangan swasta.

Beliau berkata, kerajaan Sabah belum melantik kontraktor bagi pembinaan empangan ini kerana pertimbangan masih diberikan oleh Ketua Menteri.

Katanya, biarpun ada perancangan bagi meneruskan pembinaannya sebagai langkah mengatasi masalah kekurangan bekalan air pada masa hadapan namun, lantikan kontraktor belum dibuat.

“Malah, laporan impak penilaian alam sekitar (EIA) pun belum lagi dilaksanakan.

“Saya bersama YB Jenifer Lasimbang dan YB Darell Leiking juga telah memberi pandangan kepada Ketua Menteri bahawa (pembinaan empangan) ini sesuatu yang harus kita teliti dengan baik.

“Masih banyak alternatif lain yang belum dikaji secara teliti,” katanya ketika ditanya mengenai dakwaan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee berkaitan lantikan kontraktor bagi projek Empangan Papar.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan ini berkata, beliau sudah menyatakan pendirian berhubung isu Empangan Papar sebelum ini bahawa pandangan komuniti setempat perlu dihormati dan diberi perhatian.

Katanya, kerajaan Sabah juga berpendapat sekiranya pembinaan empangan perlu dilaksanakan, ia perlu dilaksana dengan cara yang betul seperti mengambil kira pandangan komuniti dan mesti mempunyai laporan EIA.

“Kita kena melalui komuniti untuk membuat sesuatu. Pandangan saya masih sama, yang mana, semua aspek berkaitan kajian alternatif dan pandangan masyarakat harus dijalankan terlebih dahulu,” ujarnya.

Tambahnya, beliau juga telah memberi saranan kepada menteri berkaitan dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur untuk memastikan semua aspek dilihat sebelum sebarang keputusan dibuat.

Jannie berkata, beliau juga telah berhubung dengan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew dan dia maklumkan EIA berkaitan projek ini belum lagi dijalankan.

Dalam kenyataan Teck Lee sebelum ini, beliau mendakwa kerajaan Pakatan Harapan mendedahkan bahawa kerajaan Warisan telah melantik sebuah syarikat China untuk melaksana pembinaan Empangan Papar dengan nilai kontrak RM3 bilion.

Sebelum ini, Ketua Menteri menyatakan projek pembinaan Empangan Papar akan diteruskan bagi memenuhi keperluan bekalan air dan elektrik di kawasan Pantai Barat Sabah. Empangan itu dijangka mampu membekalkan sejumlah 1,000 juta liter air sehari (MLD).

Empangan ini akan dibina di kawasan sungai berhampiran Kampung Mondoringin, Papar.