Janin Bayi Ditemukan Di Loji Rawatan Kumbahan Di Labuan

147

LABUAN: Satu janin bayi ditemukan di loji rawatan kumbahan di Taman Mahkota Impian, Jalan Bukit Timbalai, pagi tadi.

Janin itu ditemukan terperangkap di bawah perangkap sampah, oleh kakitangan penyelenggaraan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), yang sedang melakukan kerja penyelenggaraan berjadual kira-kira jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Labuan, Supt Muhamad Farid Ahmad berkata janin dipercayai telah meninggal dunia dan baru sahaja dilahirkan, sebelum ditemui.

Namun ujian autopsi ke atas janin itu akan dijalankan esok untuk mengesahkan usia sebenar dan jantinanya.

“Kami cuba menentukan punca yang menyebabkan janin dibuang ke loji rawatan dan kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.

Farid berkata siasatan akan ditumpukan kepada segenap sudut iaitu sama ada janin adalah hasil daripada ‘keguguran semulajadi’ atau sebaliknya dan bagaimana ia boleh berada di kawasan itu.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Balai Polis Labuan di talian 087- 506222.